Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan sebar video lama kes disiplin pelajar - Teo

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menggesa masyarakat untuk tidak menyebarkan klip video masalah disiplin pelajar yang sudah lama berlaku atau di luar negara.

Beliau berkata tindakan itu boleh menyebabkan pelaku kes yang sudah didakwa di Malaysia sekali lagi berdepan masalah sedangkan isu tersebut sudah selesai manakala isu di luar negara tidak berkaitan dengan kementeriannya.

Teo berkata beliau sendiri masih menerima klip video kejadian lama, malah ada antaranya berlaku pada tahun 2016 selain rakaman kejadian yang difahamkan berlaku di negara jiran.

"Saya minta pada orang awam supaya apabila hendak menghantar sesuatu video, pastikan ia adalah kes baharu ...apabila kita kongsikan video lama, kita sebenarnya menjadikan pelaku video itu mangsa (sekali lagi) memandangkan kes itu sudah selesai antara murid, ibu bapa dan sekolah," katanya.

Teo berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di Bentong, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador

Pada perkembangan lain, Teo berkata statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar menunjukkan penurunan pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,249 orang berbanding 1,719 orang pada 2018.

Pada program itu, Teo turut melancarkan Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melibatkan kerjasama antara KPM dan PDRM dengan 75,000 naskhah akan diedarkan ke sekolah dan jabatan pendidikan negeri.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata setakat ini, terdapat 10,208 PPS di seluruh negara terdiri daripada pegawai inspektor dan sarjan yang dilihat dapat membantu meningkatkan disiplin pelajar serta sebagai langkah pencegahan jenayah.

"PPS juga perlu memberi pendedahan dan menyuntik kesedaran kepada komuniti termasuk pelajar supaya mereka tidak terjebak atau menjadi mangsa jenayah seperti love scam, black money, Macau scam dan penipuan lain.

"Selain itu, kita juga perlu mengekang penularan ideologi atau dakyah ajaran sesat, radikalisme, ekstremisme dan terrorisme daripada menyerap masuk ke sekolah," katanya.

Abdul Hamid yang juga bekas pelajar SMK Sulaiman berkata pihaknya akan menilai cadangan mengecat logo PDRM di pondok pengawal sekolah sebagai peringatan kepada mereka yang ingin mempengaruhi pelajar dalam kegiatan jenayah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS