Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan Najib ditangguh, Shafee perlu bersiap majlis kahwin anak

Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak bagi kes 1MDB melibatkan RM2.28 bilion yang dijadualkan bermula esok (18 Feb) dan Jumaat (21 Feb) ditangguhkan ke 2 Mac.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat peguam bela Muhammad Shafee Abdullah tengah hari tadi.

Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib mengesahkan penangguhan kes ini.

Terdahulu semasa perbicaraan SRC International yang melibatkan RM42 juta hari ini, Shafee memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak peguam bela meminta penangguhan perbicaraan kes 1MDB di hadapan Sequerah.

Shafee memberitahu bahawa penangguhan itu kerana anak lelakinya akan berkahwin pada 20 Feb minggu ini dan dia (Shafee) perlu mengambil bahagian dalam persiapan perkahwinan itu yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Anak Shafee, Muhammad Farhan juga seorang peguam.

"(Pada mulanya), saya tidak tahu bahawa saya akan terlibat (dalam persiapan perkahwinan). Ia (mempunyai kaitan dengan) budaya Melayu Pulau Pinang," katanya menambah bahawa antara lain ia akan melibatkan 'tarian semerak'.

"Nasib baik, bukan saya yang menari tarian semerak," kata Shafee kepada hakim.

Shafee menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib.

Dia juga didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan dengan dua tuduhan membuat perisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan tidak memasukkan RM9.5 juta dalam pemfailan cukai untuk tahun itu.

Peguam yang berusia 68 tahun itu sedang menunggu perkahwinan anak lelakinya juga merupakan sebahagian daripada pasukan pembelaan.

Pada 13 Nov tahun lepas, perbicaraan kes 1MDB melibatkan RM2.28 bilion Najib ditangguhkan kerana kedua-dua saksi pendakwaan utama, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Shafee, mengambil cuti sakit (MC) pada hari itu.

Perbicaraan kini berada di peringkat pendakwaan di mahkamah, dengan Shafee menjalankan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral.

Perbicaraan adalah mengenai 21 dakwaan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung dana RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Lihat Komen
ADS