Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banci 2020 libatkan 33.8 juta penduduk, sembilan juta kediaman

Projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan setiap penduduk Malaysia akan dihitung melalui Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) yang bermula 7 Julai ini.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, banci itu bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’ dijangka meliputi sembilan juta kediaman melibatkan kira-kira 33.8 juta penduduk.

Banci kali ini akan menggunakan pendekatan 'de jure' iaitu maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa mereka pada Hari Banci dengan dapatan banci itu menjadi sumber utama dalam penyediaan rancangan pembangunan negara meliputi sosial, ekonomi selain keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Gerak kerja awal Banci 2020 yang intensif telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sejak 2018 terutamanya berkaitan pemetaan dan penyenaraian tempat kediaman.

Menurut kenyataan itu, dalam memastikan bancian dijalankan secara menyeluruh dan lebih teratur, pembancian awal akan turut dilaksanakan bermula April ini melibatkan beberapa institusi yang telah dikenal pasti.

Selaras dengan itu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin sebagai Pesuruhjaya Banci yang ke-6.

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada 12 Feb lepas dengan Mohd Uzir akan berperanan menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan lancar.

Kenyataan itu turut menyebut Banci 2020 merupakan banci ke-6 dijalankan dalam negara dan dilaksanakan setiap 10 tahun sekali, dengan Malaysia antara 54 negara yang melaksanakan banci pada tahun ini.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh dilayari di portal banci www.mycensus.gov.my.

-Bernama

Lihat Komen
ADS