Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hishammuddin: Siapa menteri roti John?
Diterbitkan:  Feb 17, 2020 5:55 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini mempertikaikan kualiti menteri Pakatan Harapan yang dilaporkan memberi kenyataan yang disifatkan tidak wajar bagi mesyuarat yang membincangkan perkara serius.

Menulis di hantaran Facebook beliau, ahli parlimen Sembrong itu menasihatkan kepada menteri PH berkenaan supaya tidak mencalarkan maruah negara jika tidak mampu menggalas tugas sebagai seorang menteri.

“Menteri PH mana yang buat lawak tak kena tempat ni? Hari tu kecoh menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa.

“Kali ni kisah roti John pula. Saya harap cerita ini palsu. Tetapi kalau sahih, ia amat mendukacitakan, apatah lagi ia dilakukan ketika mesyuarat yang membincangkan perihal keselamatan dunia.

“Satu sahaja nasihat saya kepada mana-mana menteri PH, kalau rasa tak mampu banggakan negara, janganlah pula melakukan tindakan yang berupaya mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia,” tulisnya yang memetik artikel dari portal The Star bertarikh 16 Feb.

Penulis artikel itu menceritakan bagaimana sesetengah daripada menteri tidak cekap menjalankan tugas dan berpendapat bahawa seseorang itu tidak sewajarnya diberikan tugas sebagai menteri hanya kerana jawatan mereka di dalam parti.

Dia turut menceritakan perbualannya bersama seorang diplomat yang memberitahunya seorang menteri dari Malaysia bertemu dengan seorang pegawai tinggi bernama John dari negaranya.

“Menteri kamu kata, 'Nama kamu John. Di negara saya, ada roti John. Jika kamu datang ke negara saya, saya boleh masakkan roti John untuk kamu',” menurutnya tanpa menamakan mana-mana menteri.

Selain itu, penulis artikel itu turut mengkritik sesetengah menteri yang menurutnya asyik berpolitik tanpa menghiraukan nasib rakyat serta kesan kepada diri mereka akan datang.

Selain Hishammuddin, ahli parlimen Rembau yang juga merupakan bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin turut membangkitkan perkara tersebut melalui Instastory beliau semalam, dengan melampirkan keratan akhbar artikel tersebut sambil menulis, “Wonder which minister?" (Agaknya menteri mana satu?).

Lihat Komen
ADS