Terjemahan Filem dokumentari 'Last Communist' (Lelaki Komunis Terakhir), yang menimbulkan kontroversi akhir-akhir ini akan ditayangkan khas untuk semua ahli Parlimen Ahad ini.

Beberapa orang ahli Parlimen memberitahu malaysiakini, mereka telah menerima kad undangan tayagan khas itu dari Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini.

Menurut ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, tayangan khas itu akan diadakan di panggung mini P.Ramlee di ibupejabat Perbadanan Filem Nasional (Finas) di Hulu Kelang pada petang Ahad.

Sementara itu seorang pegawai kementerian berkenaan yang dihubungi memberitahu, jemputan tersebut juga dihantar kepada para senator. Menurutnya panggung mini itu boleh memuatkan kira-kira 100 orang.

Pada Khamis lalu, semasa berucap di Dewan Rakyat, Dr. Rais berjanji mengadakan tayangan khas untuk ahli Parlimen setelah Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mengkritik tindakan pihak berkuasa mengharamkan filem dokumentari tersebut.

Dalam kritikannya Lim meminta Dr. Rais mengadakan tayangan khas untuk para ahli Parlimen dan menteri kabinet supaya satu rumusan boleh dibuat bagi menentukan samada langkah pengharaman itu wajar atu tidak.

Dalam ucapannya, Dr. Rais juga memberi jaminan peribadinya untuk mengkaji semula langkah pengharaman filem tersebut. Sebelum ini pihak berkuasa mengharamkan tayangan 'Last Communist' atas alasan 'menjaga kepentingan awam'.

Lim pula ketika ditanya reaksinya terhadap langkah tayangan khas filem itu, mengalukan-alukan tindakan Dr. Rais dengan menyifatkan beliau 'seorang yang memenuhi janji' dan 'menunjukkan teladan yang baik' untuk diikuti oleh menteri-menteri lain. .

Last Communist arahan pengarah muda, Amir Muhammad, dikatakan menceritakan sejarah hidup pemimpin nombor satu Parti Komunis Malaya, Chin Peng, yang kini tinggal di Thailand.

Dr.Rais juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis telah membantah tayangan awam filem tersebut walaupun Lembaga Penapis Filem (LPF) telah meletakkan filem itu dalam kategori 'U', menandakan ia sesuai untuk tontonan semua peringkat umur.

Kenyataan beliau itu bertentangan dengan dakwaan Amir yang mengatakan para pegawai cawangan khas yang menonton filem tersebut pada 2 Mei tidak membantah tayangan filem berkenaan.

Ekoran pengharaman filem itu, Amir telah menyalahkan beberapa tulisan mengenai filem tersebut yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan, yang antara lain mendakwanya mengagung-agungkan Chin Peng sebagai seorang 'hero'.

Bagaimanapun Amir menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan filem sepanjang 90 mint itu tidak mengandungi wawancara dengan Chin Peng atau menunjukkan gambarnya.

Katanya, filem itu hanya berdasarkan wawancara dengan orang-orang yang pernah tinggal di bandar-bandar yang pernah diganggu oleh aktiviti komunis. Filem tersebut sebelum ini dijadula untuk ditayangkan di Kuala Lumpur pada 18 Mei ini.