BN dakwa ceramah PKR sebagai hiburan semata-mata
Barisan Nasional (BN) menyifatkan ceramah-cereamah politik yang diberikan oleh para pemimpin pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya 'satu huburan' sahaja bagi rakyat Sarawak.
Barisan Nasional (BN) menyifatkan ceramah-cereamah politik yang diberikan oleh para pemimpin pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya 'satu huburan' sahaja bagi rakyat Sarawak.
Calon BN bagi kerusi Satok Datuk Seri Abang Johari Tun Openg membidas kempen ceramah PKR itu dengan mendakwanya bertujuan memperdaya pengundi.
Menurut beliau, berdasarkan maklum balas akar umbi, ceramah para pemimpin PKR termasuk oleh Penasihatnya Datuk Seri Anwar
Ibrahim semalam boleh disifatkan hanya sebagai satu hiburan sahaja.
"Rakyat Sarawak tahu bahawa Keadilan tidak begitu serius dan hanya hendak menguji sambutan rakyat pada pilihan raya ini. Malah, kewibawaan calon-calon mereka juga boleh dipertikaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai keusahawanan koperasi, di Kuching hari ini.
Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata PKR, yang tidak diterima lagi oleh penduduk di Semenanjung, juga ketandusan isu mengenai keadaan sebenar di Sarawak.
" Tidak seperti pembangkang, BN tidak terlibat dengan perbuatan memburuk-burukkan peribadi orang lain tetapi lebih jujur dalam perjuangannya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk," katanya.
Abang Johari mengulas kehadiran Anwar pada satu ceramah di sini malam tadi, untuk berkempen bagi calon parti itu, Dominique Ng, yang mencabar calon penyandang dari BN dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Padungan.
Menurut laporan Bernama, Abang Johari, yang memenangi kerusi Satok dengan majoriti 2,859 undi mengalahkan calon Keadilan pada pilihan raya negeri 2001 juga, berkata BN hanya meletakkan calon-calon yang berwibawa selepas mengadakan penilaian berdasarkan penerimaan orang ramai.
Mengenai kebimbangan para pemimpin BN dan calon mengenai kegiatan judi mempertaruhkan keputusan pilihan raya yang kian berleluasa, beliau berkata budaya negatif seumpama itu perlu dihapuskan.
Katanya pihak polis sedang memantau keadaan, yang mengikut dakwaan sesetengah pihak, pertaruhan itu melibatkan jutaan ringgit di kawasan-kawasan pilihan raya terbabit.

