BERITA

Vell Paari bantah permohonan wanita mengaku isteri ayahnya jadi pencelah

B Nantha Kumar

Diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan S Vell Paari untuk mengemukakan hujahan susulan seorang wanita yang mengaku sebagai isteri ayahnya, Samy Vellu, untuk menjadi pencelah dalam kes saman bagi mahkamah menentukan kesihatan mental bekas presiden MIC itu.

Ia susulan peguam David Mathews yang mewakili Paari membantah permohonan Meeriam Rosaline Edward Paul untuk menjadi pencelah dalam kes berkenaan.

Peguam RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Rosaline, 60, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan menjadi pencelah di hadapan Hakim Mohd Sofian Abdul Razak hari ini.

“Kami sebenarnya berhujah berhubung permohonan untuk menjadi pencelah di depan hakim dan disebabkan kekangan masa perkara ini ditetapkan pada satu tarikh baru untuk mereka (plaintif) mengemukakan hujahan.

“Jadi, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak kemudian mahkamah akan putuskan untuk anak guam saya menjadi pencelah,” katanya selepas prosiding mahkamah petang tadi.

Tambah Ramesh, pihak plaintif diperintah untuk mengemukakan hujahan pada 20 Mac pada pukul 3 petang di depan hakim.

Untuk rekod, pada 12 Disember, Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan (17 Jan) untuk mendengar permohonan perintah interim Rosaline yang mendakwa merupakan isteri Samy Vellu.

Rosaline memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac lalu bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

Pada 2 Disember tahun lalu, Paari, 58 selaku plantif memfailkan saman tersebut untuk menentukan sama ada Samy Vellu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Saman berkenaan difailkan oleh Paari di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan bekas menteri kerja raya (Samy Vellu) itu, yang berusia 83 tahun, selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, Paari yang juga bekas bendahari agung MIC memohon perintah bahawa suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain untuk menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Terdahulu, Ramesh berkata bahawa pihak plaintif menbantah permohonan Rosaline menjadi pencelah.

“Mereka kata Rosaline tidak mempunyai locus dan tidak ada hak untuk menjadi pencelah.

“Hujahan kami sejak hari pertama adalah bahawa Rosaline merupakan isteri yang sah dari sisih undang-undang, beliau mempunyai hak untuk menjadi pencelah dalam permohonan ini.

“Katakan lah, kami biarkan perkara ini kepada Vell (Paari) tanpa mencelah kemudian maka mahkamah akan menilaikan (saman ini) dengan fakta bahawa Tun Samy vellu ada masalah mental.

“Kita memerlukan seseorang yang tidak memihak kepada perkara ini atau seseorang yang berminat untuk membuktikan yang relevan untuk menunjukkan Samy Vellu dalam keadaan baik sahaja,” tambah Ramesh.

Sementara itu, RSN Rayer berkata pihaknya berhujah bahawa Samy Vellu stabil dan mampu mengurus urusannya sendiri.

“Sebenarnya, kami juga mengemukakan afidavit menunjukkan bahawa minggu lepas semasa Perayaan Thaipusam dia (Samy Vellu) berada di Batu Caves.

“Jadi, dia sangat stabil secara mental. Ia tertakluk kepada pihak plaintif untuk membantah hujahan yang kami buat," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.