Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dzulkefly: WHO puji kesiapsiagaan Malaysia tangani Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan Covid-19.

WHO juga memandang tinggi kesihatan awam di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad selepas mengadakan telesidang dengan Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini.

Beliau berkata dalam telesidang selama kira-kira 20 minit itu, WHO turut mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan aktiviti pemantauan dengan menjalankan ujian Covid-19 (novel koronavirus) kepada pesakit ‘severe acute respiratory infection’ (SARI).

"Kita juga memaklumkan kepada WHO bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah perluaskan survelan jangkitan salur pernafasan dengan menjalankan ujian Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai telesidang itu dan perkembangan terkini Covid-19, di Putrajaya.

Dzulkefly berkata KKM juga mengulang komitmen akan terus bekerjasama dengan WHO serta pelbagai pihak terlibat dalam pengurusan kes serta menangani Covid-19.

Sebelum ini, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru turut menyatakan Malaysia cemerlang dalam melakukan siasatan kes Covid-19 selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS