Polis Perak menyiasat tindakan seorang anggota polis wanita mengacukan pistol kepada rakan setugas ketika berlaku pertengkaran antara mereka di Balai Polis Pekan Baru, di Ipoh kelmarin.

Ketua Polis Perak, Razarudi Husain berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi di lokasi kejadian.

"Semasa bertugas mereka ada membawa pistol. Mengacukan itu kita siasat lagi. Kena siasat.

"Mereka bertugas memang ada pistol. Kita akan siasat dengan dapatkan keterangan daripada saksi. Mereka masih lagi bertugas," kata seperti dipetik Sinar Harian.

Kaatanya, siasatan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melibatkan pelbagai aspek termasuk jenayah.

"Ia adalah perselisihan faham dalaman yang mana siasatan telah dijalankan.

"Kita akan siasat dari segi jenayah dan siasatan di bawah JIPS. Ini perselisihan faham kerana tugas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang anggota wanita dilapor meninggikan suara terhadap rakan setugasnya sebelum hilang pertimbangan dengan mengeluarkan pistol dari pinggangnya.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu berjaya dihalang oleh rakan setugas lain yang menyaksikan kejadian itu.

Sementara itu, Razarudin memandang serius penglibatan pegawai dan anggota dalam penyalahgunaan dadah serta kegiatan perjudian.

"Kita mahu mengekalkan bahawa kita tidak ditohmah atau terlibat dengan kegiatan rasuah. Integriti yang baik perlu ditunjukkan dan terlihat (kepada masyarakat). Itu mustahak," katanya.