Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM: Program biodiesel B20 perkukuh permintaan minyak sawit

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan akan menyediakan sokongan mampan ke atas permintaan minyak sawit, seterusnya memastikan harga minyak sawit terus kukuh.

Selain itu, katanya, peningkatan kadar adunan biodiesel sawit dapat menggiatkan perkembangan industri biodiesel negara secara amnya selain kilang biodiesel sawit turut dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Malaysia juga harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara.

“Pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga akan membantu 650,000 pekebun kecil sawit di mana pekebun kecil ini amat memerlukan dasar-dasar yang membantu mereka meningkatkan ekonomi,” katanya ketika melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa Seluruh Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Program biodiesel B20 bagi penggunaan di sektor pengangkutan itu mempunyai adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum.

Wan Azizah berkata, perladangan kelapa sawit di Malaysia yang merangkumi kawasan seluas enam juta hektar dapat menghasilkan dua puluh juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan dieksport ke lebih 160 negara di seluruh dunia.

Industri berkenaan juga telah menyediakan pekerjaan kepada lebih tiga juta orang di sepanjang rantaian bekalannya termasuk kepada lebih daripada setengah juta pekebun kecil di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi data saintifik daripada Kementerian Industri Utama dan agensinya iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kerajaan yakin penggunaan B20 tidak akan mendatangkan masalah kepada enjin kenderaan malah menggalakkan pengurangan pelepasan debu dan asap hitam ke udara.

Beliau juga berkata Program Biodiesel Negara memenuhi agenda ke-7 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 iaitu menjamin capaian tenaga berpatutan, dipercayai, mampan dan moden kepada semua dengan memberikan pilihan bahan api yang lebih mesra alam.

“Program tersebut juga memenuhi matlamat SDG yang ke-8 iaitu mempromosikan perkembangan ekonomi mampan dan menyeluruh, pekerjaan penuh dan produktif, dan pekerjaan layak kepada semua dengan mengurangkan kebergantungan negara kepada import diesel petroleum serta menggiatkan pembangunan industri sawit negara,” katanya.

Lebih penting lagi, katanya, program tersebut juga memenuhi matlamat SDG yang ke-13 iaitu mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim dan kesannya dengan mengawal pengeluaran gas rumah hijau serta menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

- Bernama

Lihat Komen
ADS