Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara, rotan perogol ‘clorox’
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara 19 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang penarik kereta yang mengaku bersalah merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan merompak seorang guru tadika tiga tahun lepas sebelum menyimbah clorox ke atas muka serta badan mangsa.
Rayuan Erza Iwan Ni @ Nirman untuk hukuman penjara lebih ringan ditolak oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Abu Bakar Jais.
Abdul Karim, yang mempengerusikan panel itu, memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Erza Iwan dan berkata kesalahan yang dilakukan perayu adalah serius.
Mahkamah sama turut membatalkan rayuan seorang lagi penarik kereta, Aza Nizam Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan kerana merogol seorang lagi guru tadika selepas dia menarik balik rayuannya terhadap hukuman itu.
Menurut fakta kes, seorang daripada mangsa telah ditemui dua lelaki bertopeng di dalam biliknya di Pandan Indah, Ampang dan seorang daripada lelaki itu telah mengacukan sebilah pisau ke lehernya.
Kedua-dua lelaki kemudian membawa mangsa ke sebuah bilik tidur dihuni seorang wanita lain yang mulutnya telah ditampal dengan pita pembalut dan tangannya diikat.
Apabila seorang daripada wanita itu memberitahu kedua-dua lelaki bahawa mereka tidak mempunyai barangan berharga, Erza Iwan telah merogolnya sambil mengacukan pisau ke leher mangsa manakala Aza Nizam membawa mangsa kedua ke bilik lain untuk dirogol.
Selepas mangsa dirogol, kedua-dua lelaki telah menyimbah clorox ke muka dan badan mereka dengan niat untuk menghapuskan bukti.
Erza Iwan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii serta dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas mangsa yang berusia 20 tahun dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan bagi setiap kesalahan seksual serta penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan rompak berkumpulan.
Sementara itu, Aza Nizam mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang lagi guru tadika berusia 18 tahun serta dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan bagi kesalahan merogol serta penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan rompak berkumpulan.
Mahkamah Sesyen memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman secara serentak.
Mahkamah Tinggi kemudian telah menambah hukuman penjara ke atas Erza Iwan dan Aza Nizam kepada 13 tahun namun mengekalkan hukuman enam sebatan yang dijatuhkan terhadap mereka bagi kesalahan merogol selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung hukuman.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhi Mahkamah Sesyen ke atas Erza Iwan bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii serta satu pertuduhan rompak berkumpulan dan mengetepikan sabitan terhadapnya bagi satu lagi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Erza Iwan menjalani hukuman penjara bagi kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii secara serentak.
Bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, Mahkamah Tinggi memerintahkan Erza Iwan menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya secara berturut-turut, iaitu selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii.
Mahkamah Tinggi turut mengetepikan sabitan Aza Nizam bagi dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
Peguam Nik Ahmed Asraf Nik Othman mewakili Erza Iwan manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya K Mangai.
- Bernama

