Paling Popular
Terkini

ESEI FOTO | Pada 5 Februari 2020, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menyiarkan notis di akhbar berhubung cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Notis itu menjemput pihak berkepentingan di daerah Kuala Langat untuk menyuarakan bantahan terhadap cadangan berkenaan dalam masa 30 hari.

Penyahwartaan itu melibatkan 930.93 hektar hutan simpan yang akan ditukar status untuk projek pembangunan bercampur.

Setakat hari ini, bantahan terus disuarakan oleh pelbagai pihak dari kalangan NGO, ahli politik, dan aktivis alam, selain melalui beberapa petisyen bantahan awam dalam talian.

Selain memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air bawah tanah, Hutan Simpan Kuala Langat Utara dianggap sebagai kawasan penting untuk pemuliharaan biodiversiti bagi flora dan fauna terancam.

Antara lain, kawasan itu merupakan habitat Meranti Bakau, Beruang Matahari Malaya, Tupai Pygmy Selangor dan Ikan Laga Merah Langat yang sukar ditemukan di tempat lain.

Berdasarkan notis Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, penyahwartaan di mukim Tanjung 12 itu juga akan melibatkan tujuh kampung Orang Asli yang berada dalam kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Empat daripada tujuh kampung Orang Asli yang terlibat menempatkan 1,049 masyarakat suku Temuan. Kampung itu ialah di Bukit Kecil, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Pulau Kempas.

Tiga kampung lain adalah Kampung Orang Asli Bukit Perah, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol. Kampung-kampung berkenaan merupakan sebahagian daripada tanah yang diwartakan sebagai tanah adat sejak 1927.

Hutan ini telah beberapa kali mengalami kebakaran besar, namun atas tindakan masyarakat Orang Asli tempatan dan campur tangan pertubuhan bukan kerajaan, hutan berkenaan mula pulih sejak lima tahun yang lalu.

Berikut merupakan antara gambar yang dirakam jurugambar Malaysiakini, Mukhriz Hazim ketika mengunjungi salah satu perkampungan berkenaan:


Sebatang pokok tua dipilih sebagai lokasi Orang Asli suku Temuan berkumpul untuk berbincang tentang bantahan terhadap penyahwartaan kawasan hutan yang menjadi empat tinggal nenek moyang mereka tiga generasi lalu.



Hutan Simpan Kuala Langat Utara diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada tahun 1993. Selain pembangunan, hutan gambut ini juga terancam dengan kebakaran.



Raman Pahat, Tok Batin dan pengerusi persatuan kemajuan Orang Asli di kawasan itu menunjukkan peta Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

 


Antara tumbuhan yang menghuni Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

 


Kentik, 67 tahun, yang kehidupan hariannya bergantung dengan hutan ini sejak dulu. Beliau kerap ke hutan untuk mencari hasil hutan seperti rotan dan jika nasibnya baik, dia akan membawa pulang hasil buruan menyumpit untuk keluarganya.



Memancing menjadi aktiviti harian buat penduduk di sini. Ikan mudah diperolehi di parit berhampiran hutan atau kawasan lopak air di dalam hutan berpaya.



Ikan keli limbat merupakan ikan yang banyak terdapat di sekitar kawasan ini. Selain ikan, kera, tikus, babi dan ayam hutan antara yang masih mudah untuk diburu sama ada menggunakan sumpit atau jerat.


Penduduk Kampung Busut Baru telah berpindah ke sini sejak tahun 1993, setelah kampung dan hutan mereka dimusnahkan untuk memberi laluan kepada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).



Sebuah papan tanda usang tertera 'Kampung Orang Asli Pulau Moyang'. Kampung tinggalan ini terletak kira-kira satu kilometer di dalam hutan. Walaupun tidak berpenghuni ketika ini, orang kampung masih ke sana untuk melawat kubur nenek moyang mereka.



Wak Asul menunjukkan pondok tinggalan yang terdapat di kawasan Kampung Pulau Moyang. Pondok itu sepenuhnya diperbuat daripada sumber hutan. Ketika musim kering, orang kampung akan bersilih ganti tinggal di pondok ini untuk memantau hutan daripada kebakaran.



Pembinaan sedang giat dijalankan bersebelahan hutan simpan. Berdasarkan imej satelit, sekeliling kawasan hutan telah dibangunkan menjadi ladang, lebuh raya dan perumahan.



Pemandangan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dihimpit pembangunan. “Apa erti hidup kami sebagai Orang Asli jika tiada hutan? Ini amanah daripada nenek moyang kami, jika tidak pertahankan bagaimana nasib generasi Orang Asli yang akan datang?” kata Tok Batin Raman Pahat.


Lihat Komen
ADS