Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO pro-Anwar nafi adakan demonstrasi tuntut peralihan kuasa
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 11:14 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Sebuah NGO pro-PKR menafikan akan mengadakan demonstrasi menuntut peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim di Putrajaya petang ini.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Jingga 13, Afzainizam Rahman berkata poster yang memaparkan "demonstari aman menuntut Peralihan Kuasa PM8" yang disebarkan di media sosial itu, adalah palsu.

Menurut poster berkenaan, demonstrasi itu dianjurkan bersama oleh Otai Reformasi, Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Jingga 13 Malaysia.

Demonstrasi itu dikatakan akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di mana Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat malam ini.

Sebelum itu, enam pemimpin tertinggi PH akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu peralihan kuasa.

Poster berkenaan turut memaparkan gambar beberapa ahli politik.

Mereka ialah bekas senator dan bekas pembantu Anwar, Mohamad Ezam Mohamad Nor, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Fariz Musa, Anggota Parlimen Selayang, William Leong dan aktivis Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, yang juga dikenali sebagai Jonah.

"Ini adalah satu usaha jahat mereka yang semakin terdesak sehingga sanggup melakukan satu tindakan fitnah bagi tujuan merosakkan nama baik dan reputasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan individu-individu serta NGO yang berdiri teguh bersama beliau.

"Permainan politik desperado, jijik dan kotor ini adalah bagi mewujudkan dan mencipta pertembungan, ketegangan dan perselisihan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan niat menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku dengan aman dan harmoni," katanya.

Lihat Komen
ADS