K’jaan akan gubal undang-undang jerebu rentas sempadan
Berdepan masalah jerebu dari negara jiran hampir setiap tahun, jemaah menteri hari ini bersetuju untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Dalam kenyataan Kementerian Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) - yang meneraju penggubalan RUU tersebut - berkata langkah itu merupakan pelengkap kepada usaha Malaysia menangani pencemaran jerebu.
“Pada masa ini, tiada undang-undang khusus di dalam negara yang membolehkan Malaysia mengambil tindakan ke atas syarikat atau individu yang beroperasi di luar negara yang menjadi punca dan penyebab insiden jerebu merentas sempadan.
“Penggubalan RUU ini membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap, terutamanya terhadap syarikat atau individu dari Malaysia bagi membendung pencemaran jerebu merentas sempadan yang disebabkan oleh pembakaran ladang dan hutan yang tidak terkawal,” menurut kenyataan itu.
Menurut MESTECC, proses penggubalan itu akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pemegang taruh dan pakar-pakar serta bidang kuasa dari pelabagi kementerian yang berkaitan.
“Berdasarkan kajian-kajian terdahulu, insiden jerebu telah menyebabkan negara mengalami kerugian ekonomi sebanyak RM1.49 bilion (2013) dan RM1.16 bilion (2015) melibatkan pelbagai sektor tidak termasuk kos pemadaman kebakaran, operasi pembenihan awan, pembatalan jadual penerbangan, acara sukan dan kemusnahan biodiversiti serta ancaman perubahan iklim.
“Malaysia terus memainkan peranan aktif menangani insiden jerebu merentas sempadan sejak tahun 1997 dan menjadi salah sebuah negara yang memeterai Perjanjian Asean mengenai Jerebu Merentas Sempadan.
“Bagaimanapun, tiada sebarang klausa dalam perjanjian Asean ini yang membolehkan hukuman dan tindakan punitif diambil ke atas pesalah yang menyebabkan jerebu merentas sempadan,” katanya.
Pada Sept lalu, Menteri Yeo Bee Yin berkata kementeriannya hanya menunggu lampu hijau daripada kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.
Menurutnya, akta itu untuk mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang mengakibatkan jerebu di luar.
Ia juga akan menghukum pihak-pihak dari Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di mahkamah Malaysia.

