Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir ingatkan otai reformasi 'kesilapan' demo jalanan
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Penyokong Anwar Ibrahim boleh kembali turun ke jalan-jalan raya untuk menyatakan berhubung sokongan mereka kepada presiden PKR itu dalam isu peralihan kuasa, kata wartawan veteran, A Kadir Jasin.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan otai terbabit mungkin akan melakukan kesilapan jika memilih cara sedemikian.

Kadir bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau membuat andaian begitu.

"Sekarang ada orang mengancam untuk kembali ke jalan bagi mempercepatkan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada penggantinya, Anwar.

"Mereka adalah orang jalanan - yang disebut otai reformasi yang kebanyakannya dari PKR.

"Veteran-veteran ini turun ke jalan raya kali pertama pada 1998 untuk menyokong Anwar yang dipecat dari kabinet dan Umno atas dakwaan salah laku seksual.

"Apabila Anwar dipenjara kerana salah guna kuasa dan sodomi, protes jalanan berubah menjadi pergerakan politik yang dikenali sebagai reformasi dengan PKR sebagai wadah..., " katanya dalam hantaran di blog beliau hari ini.

Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi perdana menteri, berkata pergerakan reformasi berjaya merapatkan pembangkang yang sebelum itu tidak bekerjasama, namun gagal menumbangkan BN dalam empat pilihan raya umum.

Mesyuarat malam ini

"Akhirnya seperti dijangka, dalam percubaan kelima - mereka di bawah kepimpinan musuh lama mereka, Mahathir - mereka menang.

"Anwar yang mendapat pengampunan diraja baru-baru ini berkata, beliau sudah menunggu selama 20 tahun (untuk menjadi perdana menteri) dan dia tidak tergesa-gesa.

"Tetapi sesetengah otai tidak sehaluan dengan pendiriannya.

"Mereka mahu dia menjadi perdana menteri pada Mei (iaitu) ulang tahun kedua kemenangan PH," katanya lagi.

Terdahulu, NGO yang disokong PKR menafikan mereka akan mengadakan demonstrasi malam ini untuk menuntut Mahathir melepaskan jawatannya itu kepada Anwar.

Majlis Presiden PH akan bermesyuarat pada malam ini dan antara isu yang akan dibangkitkan ialah tarikh peralihan kuasa daripada Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini menyatakan akan berundur pada Nov tahun ini apabila sidang kemuncak pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berakhir.

Bagaimanapun perkembangan itu dibayangi oleh dakwaan bahawa wujud gerakan untuk mendesak Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.

Secara umum kempen itu digerakkan PAS namun sesetengah pihak mendakwa sebahagian ahli parlimen PKR - yang memihak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali - turut bersependapat begitu.

Bukan perkara baru

Kadir kemudian mengingatkan bahawa ada "bahaya" bakal dihadapi oleh pihak yang melupakan sejarah.

"Sejarah sentiasa menjadi panduan yang baik. Ia mungkin berguna untuk mengimbas semula drama 1997/98 serta dengan babak terlindung daripada skrip asal, bermula dengan surat Ummi Hafilda pada 1997.

"Saya tidak fikir semua otai itu ada menyaksikan drama Mahathir-Anwar berkembang.

"Bagi kebanyakan orang itu, cerita Brother Anwar mereka hanya bermula di Dataran Merdeka selepas Anwar dipecat.

"Tetapi sejarah jauh lebih tua daripada itu dan lebih rumit daripada teriakan 'reformasi, refomasi, reformasi' serta mengambil alih jalan-jalan di bandar raya.

"Mahathir dan Anwar saling mengenali lebih baik daripada kebanyakan otai. Dia (Mahathir) sudah melakukan lebih banyak daripada orang lain untuk menjadikan Anwar sebagai ahli politik hari ini," katanya.

Kadir juga menjelaskan perubahan perdana menteri di pertengahan penggal bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia dan komposisi kerajaan itu sendiri tidak pernah begitu rigit seperti sangkaan kebanyakan orang.

"Kerajaan gabungan telah dibentuk di banyak negeri selepas PRU 1969 dan rusuhan yang terjadi selepas itu.

"Ini berubah menjadi gabungan baru - BN - sebelum PRU 1974 dengan penyertaan PAS, Gerakan dan beberapa parti lain di peringkat negeri dan pusat.

"(Bekas perdana menteri) Hussein (Onn) memecat PAS dari BN pada 1977 berikutan krisis di Kelantan.

"Sejak itu, PAS terlibat dalam beberapa siri kerjasama yang gagal dengan pelbagai parti pembangkang. Ia kini bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

"Oleh itu, cakap-cakap bahawa sesetengah wakil rakyat PAS dan Umno di Dewan Rakyat sanggup menyokong Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri untuk sepenggal berbaloi untuk disaksikan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS