Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langit tidak kelihatan sangat baik, kata Johari Abdul

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, selaku presiden gabungan itu sedang berlangsung di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Mesyuarat tertutup itu diadakan bagi membincangkan hal ehwal parti dan berkemungkinan juga mengenai rancangan peralihan kuasa perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, anggota Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul memberi bayangan bahawa perjalanan pertemuan malam ini mungkin tidak mengarah ke sisi yang diharapkannya.

Johari Abdul secara berkias berkata, beliau tidak melihat perkembangan mesyuarat pada malam ini akan menuju ke matlamat yang diingini, namun beliau tetap bersikap positif.

“Untuk malam ini, langit tidak kelihatan sangat baik tetapi sentiasa ada lapisan cahaya dibalik setiap awan. Suhu (yang panas) akan turun. Jangan risau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sekretariat PH di Wisma Putra, Putrajaya, lewat petang tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemui berkata mesyuarat tersebut banyak ketawa daripada serius.

Manakala mengulas berhubung mesyuarat itu sendiri, Hatta berkata ia diadakan di Wisma Putera petang tadi bagi memperkemaskan operasi pakatan itu termasuk di peringkat negeri.

Katanya, ia adalah mesyuarat rutin yang membincangkan beberapa cadangan dan membincangkan perancangan sekretariat peringkat parti dan negeri.

Mohd Hatta berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju supaya Mesyuarat Sekretariat berkenaan akan diadakan empat kali setahun.

“Ini adalah mesyuarat rutin memperturunkan beberapa cadangan dan mendengar perancangan masing-masing di setiap negeri.

“Kita nak memperkemaskan struktur diperingkat negeri PH supaya berjalan lancar dengan perwakilan yang sama semua, bukan sahaja diperingkat negeri tetapi diperingkat kawasan jugalah.

“Ia bagi mendengar dari (pemimpin parti) negeri masalah yang dihadapi dan cuba selesaikan secara dalaman dalam PH,” katanya.

Hatta mempengerusikqn mesyuarat tersebut kerana difahamkan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah, tidak sempat pulang dari perjumpaan dengan diplomat.

Mesyuarat tersebut difahamkan bermula sekitar jam 5.30 petang dan berakhir sejam kemudian.

Selain Johari dan Hatta, mesyuarat itu turut dihadiri Adun Bukit Katil yang juga Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, Anggota Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, Adun Tanjung Sepat yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah selain Saifuddin.

Lihat Komen
ADS