Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee gesa AG - akur dasar k'jaan atau undur
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 9:07 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa Peguam Negara Tommy Thomas supaya mematuhi dasar kerajaan atau meletakkan jawatan.

Ini selepas lebih sebulan dulu, Maszlee sendiri diminta melepaskan jawatan menteri kerana didakwa tidak mengikuti arahan kabinet.

Dalam kenyataan hari ini, Maszlee yang juga ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam membidas keputusan Tommy menamatkan prosiding terhadap 12 orang yang dituduh mempunyai kaitan dengan Kumpulan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya, tindakan peguam negara itu tidak mengambil kira pendirian Putrajaya bahawa kumpulan pemisah di Sri Lanka itu dianggap sebagai pengganas.

"Kuasa untuk menyenaraikan sesuatu kumpulan sebagai kumpulan pengganas atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

"Selagi mana ia tidak diubah oleh menteri dalam negeri, maka ia kekal sebagai keputusan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara melalui agensi serta badan kerajaan seperti PDRM.

"Keputusan peguam negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu yang telah dituduh di mahkamah adalah disandarkan kepada keputusan kerajaan Australia dan Sri Lanka," katanya.

Menurut Maszlee, keselamatan negara merupakan bidang tugas kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri.

"Kegagalan Peguam Negara mengambil kira dasar Kerajaan sebelum membuat keputusan bukan sahaja salah, tetapi bertentangan dengan peranan peguam negara selaku penasihat undang-undang utama Kerajaan Persekutuan.

"Saya meminta Tommy Thomas untuk kembali mematuhi dasar kerajaan dan mengutamakan keselamatan negara atau melepaskan terus jawatan sebagai peguam negara," tegasnya lagi.

Pada hari pertama persekolahan tahun 2020, Maszlee membuat kenyataan mengejutkan untuk "memulangkan sebagai menteri pendidikan." 

Ini selepas beliau diminta melepaskan jawatan itu oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad awal bulan lalu.

Sepucuk surat yang bocor kepada pihak media membayangkan antaranya Maszlee diminta berundur kerana gagal mematuhi arahan kabinet mengenai pengajaran Jawi di sekolah, khidmat internet percuma di sekolah dan program sarapan pagi percuma untuk murid sekolah.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataan sepanjang 11 muka surat berkata beliau melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk memberhentikan prosiding terhadap 12 individu dalam perbicaraan kerana didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkuatkuasa serta merta.

Thomas berkata setiap seorang daripada mereka menjadi suspek hanya kerana di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka, terdapat gambar (pemimpin utama LTTE) Velupillai Prabhakaran dan pimpimpin lain LTTE yang terbunuh semasa perang saudara di Sri Lanka.

Peguam negara juga berkata perintah menteri dalam negeri mengisytiharkan sesuatu kumpulan pengganas tidak boleh menjadi tetap dan wajar untuk disemak setiap enam bulan bagi memastikan sekiranya terdapat asas yang munasabah untuk perintah sebegitu diteruskan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata LTTE tetap diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas dan keputusan berkenaan hal itu bukan berada di bawah bidang kuasa peguam negara.

Semua mereka ditahan pihak berkuasa pada 29 Oktober tahun lalu dan sejak itu didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau dikenali sebagai Sosma.

LTTE sudah tidak lagi aktif selepas dikalahkan oleh tentera Sri Lanka pada 2009, dengan terbunuhnya Prabhakaran.

Lihat Komen
ADS