Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambiga, Zaid bidas kritikan Maszlee pada AG
Diterbitkan:  Feb 23, 2020 2:36 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Dua pengamal undang-undang membidas bekas menteri pendirikan Maszlee Malik hari ini susulan kritikannya terhadap keputusan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik tuduhan terhadap 12 individu yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Ini sangat mengarut," kata Ambiga Sreenevasan di Twitter, dalam ulang ciap kenyataan Maszlee.

"Tidak ada bukti keganasan. Hanya kerana LTTE berada dalam senarai (pengganas) tidak bermakna kes itu dibuktikan secara automatik," katanya lagi.

Begitu juga Zaid Ibrahim yang menyifatkan Maszlee "keliru" tentang peranan peguam negara dan Menteri Dalam Negeri.

"(Menteri) mungkin mahu menyenaraikan LTTE sebagai organisasi pengganas tetapi berhubung pendakwaan seseorang di mahkamah, AG yang memutuskan jika ada cukup bukti.

"Kenapa kita tidak boleh menghormati AG kita sendiri?" soal Zaid, juga di Twitter.

"Anda tidak meletakkan kepercayaan kepada AG sendiri. Bagi AG, anda tidak boleh ada keraguan tentang kecekapan dan pertimbangannya, jika ada, maka anda perlu menggantikannya," kata Zaid.

Dalam satu kenyataan semalam, Maszlee menggesa Thomas supaya mematuhi dasar kerajaan atau meletakkan jawatan.

Katanya, tindakan peguam negara itu tidak mengambil kira pendirian Putrajaya bahawa kumpulan pemisah di Sri Lanka itu dianggap sebagai pengganas.

Thomas sebelum ini menjelaskan bahawa tuduhan terhadap 12 individu itu ditarik balik kerana kesalahan yang didakwa dilakukan adalah sebelum LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan.

Beliau menambah bahawa peruntukan dalam Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) untuk kajian berkala (enam bulan) kumpulan pengganas juga tidak menyokong kes pendakwaan.

LTTE dibubarkan pada tahun 2009 selepas perang saudara di Sri Lanka.

Lihat Komen
ADS