Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Dr M tak akan tunduk pada 'gerombolan' itu
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 1:24 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau berpuas hati dengan pendirian Dr Mahathir Mohamad selepas bertemu dengan perdana menteri itu pagi tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebarang perkembangan terperinci mengenai pertemuan itu apabila ditanya pemberita.

“Saya akan ada mesyuarat khas majlis pimpinan. Baru dari rumah PM Tun Dr Mahathir, bincang beberapa perkara.

“Dan saya puas hati dengan pendirian dia bahawa prinsip harus kita utamakan, agenda reform harus diteruskan.

“Itu yang saya boleh sebut setakat ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini.

Semalam, susulan daripada pertemuan yang melibatkan beberapa gabungan politik di sebuah hotel di Petaling Jaya, Anwar menyifatkan perkembangan politik tanah air sebagai satu “pengkhianatan”.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik bermesyuarat pada hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangan lanjutnya.

“Saya tak boleh sebut apa. Memadai kita jelas setakat itu, mesyuarat yang sangat baik.

“Dan saya terkesan dengan sikap dan pendirian beliau tentang perubahan dilakukan tidak tunduk kepada gerombolan yang mahu merampas kuasa tanpa menetap agenda perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menolak idea akan berlaku perubahan kerajaan apabila ditanya pemberita.

Beliau sebaliknya berpendirian untuk tidak mengkhianati mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam pilihan raya yang lalu,” katanya.

Lihat Komen
ADS