Malaysiakini
BERITA

Anwar: Dr M tak terlibat, namanya digunakan orang dalam dan luar parti

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Feb 2020, 8:50 pagi

Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam menjatuhkan PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan baru, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Tidak, saya tak fikir beliau (terlibat). Namanya digunakan oleh orang dalam dan luar parti dan beliau menyatakannya sekali lagi seperti sebelum ini, beliau tak ada peranan.

"Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu," katanya.

Anwar mendedahkan perkara itu kepada media di sebalik spekulasi yang meluas bahawa Mahathir memainkan peranan dalam gerakan yang melibatkan bekas timbalan Anwar, Azmin Ali, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, BN, PAS, GPS dan Warisan.

Anwar, yang bertemu dengan Mahathir pagi ini, berkata beliau tahu hasrat Mahathir meletakkan jawatan lebih awal dan telah menasihatinya agar tidak berbuat demikian.

Jelasnya, dia tidak dapat mendedahkan perkara itu kerana ia belum diumumkan.

Katanya beliau cuba memujuk Mahathir agar menukar fikiran tetapi ahli parlimen Langkawi itu berkata, beliau kecewa kerana dikaitkan dengan pihak "yang korup".

"Saya ada merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan PH.

"Pengkhianatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu beliau ada pandangan yang berbeza.

"Beliau berpendapat tidak wajar untuk beliau dilayan begitu, dikaitkan untuk bekerja dengan perasuah," katanya.

Selepas perjumpaan dengan Mahathir, Anwar sebelum ini berkata beliau berpuas hati dengan pendirian ahli parlimen Langkawi itu.

Selain meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Bersatu ditubuhkan sebelum pilihan raya umum lepas sebagai alternatif kepada Umno.

Perletakan jawatannya hadir tidak lama selepas Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH. Pengumuman itu dilihat sebagai kemungkinan mencetuskan ketidaksefahaman Mahathir dan Muhyiddin.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.