Terjemahan Andainya parti pembangkang kalah teruk dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini, ia bukan kerana rakyat negeri itu menolak pembangkang tetapi disebabkan oleh faktor lain seperti liputan media yang berat sebelah, manipulasi daftar pengundi dan politik wang.

Itulah rumusan yang dibuat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, sepanjang kempennya di negeri itu, rakyat Sarawak menunjukkan sokongan kuat kepada pembangkang kerana mereka sudah bosan dengan amalan rasuah yang berleluasa dan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak yang tidak menguntungkan rakyat.

" Ribuan orang yang kami temui sepanjang kempen ini mahukan perubahan. Bagaimanapun kita kena berhati-hati dengan beberapa perkara seperti kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjamin liputan media yang adil dan seimbang, masalah peti undi yang selalu hilang dan jutaan wang yang ditabur hingga ke malam pengundian," katanya dalam sidang media di Lapangan terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Anwar berkata, apa yang disaksikannya dalam pilihanraya kali ini amat berbeza dengan keadaan pada masa beliau masih bersama BN dulu.

" Saya sudah lama dalam politik dan saya mengikuti dengan rapat pilihanraya Ssarawak. Sambutan yang diberikan oleh ribuan orang di ceramah-ceramah kali ini secara umumnya menunjukkan rakyat mahukan perubahan,"

" Jadi calon-calon pembangkang mempunyai harapan cerah dan saya yakin ramai kawan-kawan kita akan menang ," tegas Anwar.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sarawak jangan terpedaya dengan taktik para pemimpin BN yang cuba mengalih ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan kepada kebencian terhadap seorang tokoh sahaja iaitu Ketua Menteri, Tan Seri Abdul Taib Mahmud yang sudah 25 tahun berkuasa di negeri itu.

" Saya tahu ada orang tertentu dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) meminta rakyat terus menyokong BN dengan mengatakan Taib akan bersara tidak lama lagi

" Kita bukan berhadapan dengan seorang pemimpin sahaja, tetapi dengan seluruh pemimpin BN. Bukan Ketua Menteri sahaja yang mengambil tanah rakyat dan menguasai projek-projek. Pemimpin China, Iban atau Islam dalam BN juga tidak berani memperjuangkan hak rakyat, mereka mematuhi arahan secara membabi buta," ujar Anwar lagi.

Penasihat PKR itu juga melahirkan kekecewaannya terhadap SPR yang tidak mengotakan janjinya untuk memastikan liputan media yang adil dan seimbang untuk pembangkang sepanjang kempen pilihanraya ini.

" SPR gagal memenuhi janjinya itu. Lebih teruk lagi ia membiarkan media-media yang dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Anwar berkata, beliau juga telah menjangkakan para pemimpin BN akan menyerangnya secara peribadi sebagaimana laporan akhbar tempatan yang cuba mengaitkannya dengan sekumpulan 'Mak Nyah'.

Katanya, tuduhan itu dibuat oleh orang-orang yang 'terdesak dan kotor' yang cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu sebenarnya. Berita asal