Dr M akan teruskan rangsangan ekonomi - Lim
Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad kemungkinan akan meneruskan rancangan rangsangan ekonomi yang digubal oleh kerajaan Pakatan Harapan seperti sebelum ini, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.
Lim berkata beliau telah memuktamadkan pelan rangsangan ekonomi pada Ahad lalu tetapi tidak dapat membentangkannya kerana Mahathir secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai perdana menteri pada hari berikutnya.
Lim berkata pakej rangsangan ekonomi adalah antara isu yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Mahathir pagi ini.
"Antara perkara yang telah dibincangkan termasuklah pakej rancangan ekonomi untuk mengatasi kesan buruk yang diakibatkan oleh wabak Covid-19, yang sebelum ini dijadualkan untuk diumumkan oleh Tun Dr Mahathir pada 27 Februari 2020.
"Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut akan diumumkan oleh beliau sebagai perdana menteri interim pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pakej rangsangan ekonomi itu bertujuan untuk mengatasi ekonomi global yang lembab berikutan wabak Covid-19 yang telah menjangkiti lebih daripada 80,000 orang dan dikatakan meragut 2,702 nyawa sehingga kini.
Bagaimanapun, penjajaran semula politik yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Isnin memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.
Bursa Malaysia FBM KLCI semalam turun ke paras terendah sepanjang 8 tahun ketika ditutupi pada 2.68 peratus atau 41.14 mata lebih rendah berbanding penutupan hari Jumaat sebanyak 1,531.20.
Bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, yang pernah memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi itu telah mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad mengenai pembentukan kerajaan campuran baru.
Azmin diiringi oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, presiden PAS Abdul Hadi Awang, presiden GPS Abang Johari Openg dan presiden Warisan Shafie Apdal.
Mahathir tidak hadir semasa menghadap Yang Di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Agong inginkan diberikan masa untuk memutuskan perkara itu.
Keesokan harinya, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebagai pengerusi Bersatu.
Pemimpin PH yang telah bertemu dengan Mahathir sejurus sebelum peletakan jawatannya berkata mereka telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mendakwa Mahathir kecewa dengan muslihat politik itu kerana beliau tidak berminat untuk bekerjasama dengan Umno.
Bagaimanapun, Mahathir tetap mengunci mulutnya.
Mahathir, yang menyerahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong semalam, diminta menjadi perdana menteri sementara sehingga kerajaan baru dibentuk.
Agong kini sedang menemu bual semua ahli parlimen untuk menentukan siapa yang mereka sokong sebagai perdana menteri.
Selepas itu baginda akan melantik perdana menteri yang kemudiannya akan membentuk kerajaan gabungannya.
Secara alternatifnya, Yang Di-Pertuan Agong juga boleh membubarkan Parlimen jika dia mendapati tiada siapa yang mempunyai majoriti.
Secara umum, ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak telah menyatakan sokongan mereka mahukan Mahathir terus menjadi perdana menteri tetapi tidak dapat menyatakan persetujuan mengenai gabungan yang harus dibentuknya.
Ends.

