Mahfuz syor tiga bekas pemimpin negara bersatu
Tiga bekas pemimpin negara - Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah - diseru bersatu supaya pandangan dan kritikan mereka terhadap kepimpinan negara didengar dan berkesan.
Tiga bekas pemimpin negara - Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah - diseru bersatu supaya pandangan dan kritikan mereka terhadap kepimpinan negara didengar dan berkesan.
Bekas Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata, jika mereka masih bertelagah sesama sendiri sekaligus kritikan mereka tidak akan dilayan oleh pemerintah.
Sehubungan itu, katanya, ketiga-tiga mereka perlu melupakan perselisihan sesama mereka dan bersatu demi kebaikan negara dan rakyat.
"Rakyat sangat memerlukan idea dan kritikan daripada Dr Mahathir, Anwar dan Ku Li untuk membetulkan kesilapan yang sedang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam sidang media di Taman Melawar dekat ibu negara pagi tadi.
Mahfuz yang juga Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) berkata, mereka mengkritik pucuk pimpinan negara berhubung perkara yang sama.
Berikutan itu, Mahfuz berkata, beliau mahu menemui ketiga-tiga bekas pemimpin tersebut bagi mendapatkan persetujuan mereka supaya dapat duduk bersama membetulkan pentadbiran negara sekarang.
"Saya telah menghantar surat kepada Dr Mahathir dan selepas itu akan menemui Anwar serta Ku Li bagi membincangkan perkara itu," katanya lagi.
Sementara itu ketika mengulas mengenai semakin ramai pemimpin Umno yang mengkritik Dr Mahathir, Mahfuz menyifatkan mereka pemimpin yang bacul kerana mengkritik setelah Dr Mahathir tidak berkuasa.
Katanya, inilah budaya pemimpin Umno iaitu menyokong siapa yang berkuasa dan melemparkan kritikan setelah kehilangan jawatan.
"Ketika ini mereka beramai-ramai menyokong dan memuji Abdullah kerana beliau menjadi Perdana Menteri dan apabila Abdullah kehilangan kuasa, pemimpin Umno akan mengritik beliau pula," katanya.
Mahfuz juga menyifatkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak ubah seperti kerbau dicucuk hidung dan ini terbukti dalam kes bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad.
Katanya, apabila Perdana Menteri berkata ahli Parlimen tidak perlu memujuk Shahrir untuk memegang semula jawatan Pengerusi BBC, semua akur walaupun sebelum itu mereka bersungguh-sungguh mahu memujuk Shahrir.

