Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes SRC: Jho Low penipu cekap dan licik - pengarah Putrajaya Perdana

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-83 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


LANGSUNG

4.00 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporang langsung Malaysiakini.


3.55 petang: Pengarah urusan kumpulan Putrajaya Perdana Bhd (PPB) Rosman Abdullah menyifatkan Jho Low sebagai penipu yang cekap dan licik, ketika pemeriksaan utama dengan peguam Farhan Read.

Saksi pembelaan itu pernah ditahan oleh SPRM pada 24 Julai 2014, dan direman selama empat hari pada masa itu.

"Sebelum penahanan saya, JL (Jho Low) nampak seperti ahli perniagaan yang cekap dan boleh dipercayai, dan kami membina, apa yang saya rasakan pada masa itu, satu hubungan profesional yang mesra.

"Selepas saya ditahan dan direman, dan kini selepas mendapat gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku dalam episod pemindahan RM170 juta, saya menyifatkannya sebagai penipu yang amat cekap dan licik, berkaitan dengan transaksi ini," katanya.

Terdahulu, Rosman berkata dia direman berkaitan siasatan pengaliran masuk wang ke dalam akaun AmBank Najib Razak.

SPRM juga menyiasat transaksi berjumlah RM170 juta melibatkan subsidiari PPB.


3.05 petang: Walaupun tiada peranan rasmi dalam Putrajaya Perdana Bhd (PPB) Group antara 2014 dan 2015, Jho Low menampakkan dirinya sebagai orang yang mengawal kumpulan itu melalui UBG Bhd, mahkamah diberitahu hari ini.

Ia dinyatakan pengarah urusan PPB Group Rosman Abdullah ketika pemeriksaan utama dengan peguam Farhan Read.

"JL (Jho Low) tiada peranan rasmi dalam PPB Group dalam tempoh dua tahun itu. Bagaimanapun JL menunjukkan kepada saya sepanjang 2011 hingga 2014, melalui kelakuan dan kenyataan, yang dia mengawal PPB Group melalui UBG Bhd.

"Saya hanya berurusan dengan JL untuk memperoleh PBB Group daripada UBG Bhd. Dia juga satu-satunya yang beri arahan kepada saya. Selain itu, saya merujuk kepada JL untuk keputusan besar dan penting.

"Pada masa itu, saya tiada sebab untuk ragu yang dia bertindak untuk kepentingan syarikat. Pada masa itu, JL mengawal PBB Group kerana buy-out tidak dijalankan dan pada saya (Jho Low) masih pemilik benifisiari PBB Group," kata Rosman.

Terdahulu, Rosman berkata pada 2012, Cendana Destini Sdn Bhd (milik penuhnya), memasuki perjanjian penjualan saham untuk membeli 100 peratus kepentingan dalam PBB Group daripada UBG Berhad, dengan harga saham berjumlah RM240 juta.


2.56 petang: Pengarah Putrajaya Perdana Bhd Rosman Abdullah dipanggil sebagai saksi pembelaan.

Syarikat itu memiliki kaitan dengan Putra Perdana Construction, yang didakwa terlibat dalam pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak antara Disember 2014 dan Februari 2015.


2.38 petang: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.


Perbicaraan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak akan diteruskan tengah hari ini, selepas ditangguh semalam.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula jam 2.30 petang hari ini.

Semalam, prosiding tidak dapat diteruskan kerana pasukan pembelaan Najib belum menyelesaikan wawancara serta pernyataan bertulis untuk saksi mereka, Pengerusi Eksekutif Putra Perdana Bhd Rasman Abdullah

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Najib yang juga anggota parlimen Pekan telah dipanggil ke Istana Negara berhubung kemelut politik terkini tanah air, dan sebelum itu perlu hadir mesyuarat di PWTC.

Mesyuarat di PWTC dan panggilan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkaitan dengan hasrat Agong untuk bertemu sendiri dengan semua 222 anggota parlimen.

Ia bagi menentukan pelantikan seorang perdana menteri baru. Pada masa ini, Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sementara berikutan pergolakan politik yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Apabila prosiding bermula pada pukul 2.30 petang nanti, pasukan pembelaan dijangka memanggil Rasman sebagai saksi.

Sebelum Nazlan menyambung semula prosiding jam 2.30 petang ini, peguambela dijangka memanggil Rasman sebagai saksi.

Putra Perdana dikaitkan dengan Putra Perdana Construction, yang didakwa terlibat dalam pemindahan RM42 juta daripada akaun SRC International ke akaun peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Lihat Komen
ADS