Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang Adun PKR di Perak mendakwa dihubungi seorang pemimpin BN untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baru.

Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat VarisaI Mahamad mendakwa, beliau dihubungi pemimpin berkenaan yang merupakan seorang bekas exco kerajaan negeri.

"Selepas kerajaan PH tumbang pada Isnin, seorang bekas exco kerajaan negeri Perak selama tiga penggal menelefon saya untuk mempelawa saya menyertai Umno.

"Dia memberi tawaran sedia memberi jawatan exco sekiranya menyertai BN.

"Namun, saya tolak dan memberitahu kepadanya bahawa saya tetap akan bersama PKR bersama Presiden Anwar Ibrahim dan PH di Perak," katanya.

Bagaimanapun Arafat berkata, beliau tidak tahu sekiranya Adun PKR lain turut menerima panggilan yang sama.

"Yang itu, saya tidak pasti," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha untuk menghubungi kepimpinan Umno negeri bagi mendapatkan reaksi.

DUN Perak mempunyai 30 kerusi yang terdiri daripada 18 kerusi DAP, enam dari Amanah, empat dari PKR, dua dari Bersatu dan seorang Adun Bebas.

Pembangkang pula memiliki 28 kerusi DUN iaitu 25 kerusi daripada Umno dan tiga PAS.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan.

Selain Arafat, PKR mempunyai tiga lagi Adun masing-masing Tan Kar Ling (Simpang Pulai), Ng Shy Ching (Teja) dan Abdul Junus Jamhari (Kuala Kurau).

Sementara itu, sumber terdekat PKR Perak tidak menolak kemungkinan seorang Adun PKR akan keluar parti.

Ini kerana menurut sumber itu, inidividu berkenaan sedang "menunggu arahan" daripada Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

"Sejurus bekas Timbalan Presiden PKR mengumumkan keluar daripada partinya, Adun tersebut keluar daripada kumpulan WhatsApp Adun negeri Perak.

"Saya percaya beliau kemungkinan akan mengumumkan keputusan keluar daripada parti selepas proses temu bual ahli-ahli parlimen di Istana Negara selesai," kata sumber berkenaan yang enggan namanya didedahkan.

Lihat Komen
ADS