Di sebalik kemelut politik yang melanda negara, pekarangan Istana Negara seakan-akan bertukar festival makanan apabila pelbagai juadah disediakan untuk petugas media yang membuat liputan di situ.

Semuanya bermula apabila pihak istana menghantar makanan segera KFC kepada pemberita di hadapan pagar Pintu 2 Istana Negara pada Isnin.

Orang ramai ermasuk warganet memuji Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai pemimpin yang prihatin.

Pada hari ketiga, Agong malah berjalan ke pagar untuk menyerahkan makanan segera Mc Donald’s kepada sekumpulan pemberita di luar pagar istana yang membuat liputan di bawah panas terik.

Agong sempat berkongsi pandangannya, dengan bertitah: "Kita amat bimbang (bengan situasi politik negara). Bersabarlah, biar saya laksanakan tanggungjawab. Saya berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik demi negara."

Tidak ambil masa lama, restoran dan syarikat makanan dan minuman (F&B) yang lain turut serta mengedarkan makanan kepada petugas media di sana. Antara makanan yang diedarka termasuk nasi kandar, mi segera dan air minuman.

Untuk rekod, hari ini merupakan sesi kedua anggota parlimen mengadap Agong. Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 anggota Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Ahad lalu.

Meskipun hari keempat kemelut yang melanda politik negara tampak akan berakhir tidak lama lagi, keadaan di luar pintu pagar istana hari ini semakin meriah apabila lebih banyak makanan dan minuman disediakan untuk petugas media.

Lebih menarik perhatian apabila sebuah jenama syarikat teknologi global turut mengagihkan pengecas bateri mudah alih dengan kapasiti 20,000mah kepada petugas media yang berkampung di situ.

Hari ini, pihak istana pula menyumbang nasi berlauk, ikan patin masak lemak cili api kepada pengamal media.

Hari ini juga istana menyediakan kerusi dan khemah untuk pihak media seperti dijanjikan semalam, memandangkan sebelum ini mereka terpaksa bertugas di bawah panas terik sejak beberapa hari lalu.

Tidak ketinggalan, sejak pagi tadi sebuah trak makanan (foodtruck), air minuman Milo turut serta melakukan perkara sama.  Produk makanan jenama Nestle seperti Nescafe, ais krim, mi segera Mamee dan Marrybrown turut diedarkan.

Menurut petugas media yang berada di situ, sumbangan makanan itu diterima beransur-ansur selang beberapa jam.