Terjemahan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan sumbangan besar bagi memajukan masyarakat India selama 22 tahun pemerintahannya.

Samy yang juga Menteri Kerja raya menelefon malaysiakini dari Sarawak mendakwa kenyataannya mengenai sumbangan Dr. Mahathir kepada kaum India sebelum ini telah diputarbelitkan oleh akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai dan Malaysia Nanban .

Semalam kedua-dua akhbar itu melaporkan, Samy dalam satu konvensyen MIC di Johor telah mendakwa Dr. Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk kaum India dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).

"Untuk maklumat pembaca malaysiakini, saya amat menyanjung tinggi Dr. Mahathir sebagai pemimpin ulung negara ini. Apa sahaja yang diarahkannya, kami lakukan terus," kata pemimpin MIC itu.

" Dr. Mahathir adalah pemimpin besar yang banyak membantu masyarakat India," tegasnya lagi.

Antara lain kata Samy, bekas Perdana Menteri itu menyumbang RM120 juta kepada kaum India untuk mendirikan universiti, RM8 juta kepada Kolej Tafe di Seremban dan peruntukan untuk membina 60 buah sekolah Tamil di seluruh negara.

" Dr. Mahathir telah melakukan yang terbaik untuk masyarakat India. Malangnya ada di antara projek-projek yang dirancang tidak dilaksanakan dan kita gagal mencapai sasaran 3 peratus pegangan ekuiti di bawah RMK8,"tambahnya.

Mengenai ucapannya di konvensyen di Johor itu, Samy tetap menegaskan ucapannya telah disalah petik oleh kedua-dua akhbar berkenaan.

"Saya tidak pernah mengatakan Dr. Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk kaum India."

Menurutnya isu itu timbul apabila seorang peserta konvensyen bertanyakan soalan mengenai sasaran pegangan ekuiti 3 peratus itu.

Menteri itu menjelaskan, beliau sebenarnya memberitahu para peserta majlis itu yang MIC telah meminta kerajaan menubuhkan unit pemantau bagi memantau pelaksanaan semua keputusan atau projek berkaitan kaum India.

'Nehi' dan Subramaniam

Samy berkata, ketika bercakap mengenai perkara itulah beliau menyebut 'Nehi' ('tiada' dalam bahasa Hindi) - kerana permintaannya itu tidak dipenuhi.

Kedua-dua akhbar berkenaan bagaimana memetik Samy sebagai berkata bahawa Dr. Mahathir tidak menyumbang apa-apa kepada kaum India di bawah RMK8.

"Semasa berucap, saya juga memberitahu konvensyen itu bahawa permintaan tersebut telah dibawa kepada kerajaan sekarang dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bersetuju.

"Saya difahamkan seorang pegawai kanan telah diarahkan melaksanakan tugas ini. Inilah sebenarnya yang saya cakapkan," jelasnya.

Semantara itu Samy berkata, mungkin lawan politiknya iaitu timbal annya sendiri, Datuk S Subramiam mendalangi kontroversi ini.

"Kedua-dua akhbar itu, Makkal Osai dan Malaysia Nanban mempunyai hubungan dengan Subramaniam dan sudah lama kedua-dua akhbar ini membuat kerja memutarbelitkan berita. Sudah banyak artikel memfitnah saya disiarkan dalam akhbar-akhbar ini," katanya.

"Mereka ini marahkan saya sebab saya sedang mencari seorang timbalan yang baru kerana Subramaniam gagal menyumbang kepada komuniti India," tambahnya.

Samy secara terrbuka menyatakan sokongannya kepada calon Timbalan Presiden, G Palanivel. Pertandingan bagi jawatan itu akan berlangsung pada 24 24 Jun ini. Berita asal