Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan buat begini pada rakyat - Ambiga rayu politikus
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 6:39 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Ambiga Sreenevasan mengulangi pendiriannya bahawa negara ini tidak berkemampuan untuk mengadakan pilihan raya umum pada ketika ini dan menggesa ahli politik menyelesaikan kebuntuan yang dihadapi mereka.

Menerusi hantaran Twitter petang ini, bekas pengerusi Bersih itu berkata beliau telah berbincang dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengenai perkara itu.

"Kos pilihan raya 2018 adalah kira-kira setengah bilion.

"Pilihan raya (akan memakan kos) kira-kira RM750 kepada 800 juta! Tolonglah ahli politik, bersama-sama dan selesaikan masalah ini. Jangan buat begini kepada rakyat yang telah mengasihani anda," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Azhar berkata angka itu merupakan satu "anggaran".

Kemelut politik di Malaysia muncul di tengah-tengah kegawatan ekonomi global disebabkan wabak Covid-19.

Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad, petang ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi membendung wabak itu, yang kini telah meragut lebih 2,700 nyawa.

Dalam tweetnya sebelum ini, Ambiga juga mempertahankan rancangan Mahathir membentuk kerajaan perpaduan demi kepentingan negara dan merentasi politik kepartian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab seorang pengguna Twitter yang menyatakan ramai rakyat Malaysia bimbang jika pemimpin berusia 94 tahun itu diberi kebebasan untuk membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.

"Bagaimana pula pelantikan berani yang dia lakukan: Sebagai contoh hakim wanita pertama (Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat) dan lain-lain lagi. 

"Dan ia adalah satu anggapan yang salah bahawa tidak ada pembangkang, "katanya.

Sebelum itu, beliau juga mengulang tweet pengguna lain yang bimbang pilihan raya akan berisiko "membawa masuk semula kleptokrat", manakala isu kaum dan agama akan terus merosakkan keharmonian negara.

Penasihat Mahathir, A Kadir Jasin sebelum ini berkata apa sahaja bentuk kerajaan yang dipilih Mahathir, tidak akan memasukkan "pemimpin kleptokrat, rasuah dan mereka yang didakwa di mahkamah."

Pada mulanya, Umno dan PAS, yang merupakan sekutu dalam Muaafakat Nasional menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Mahathir tetapi menarik balik sokongan itu apabila perdana menteri itu mahu membentuk kerajaan perpaduan.

Kedua-dua parti itu kini menuntut parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan semula. 

Umno mempunyai 39 kerusi parlimen manakala PAS memiliki 18 kerusi. Bersama-sama dengan MCA, MIC dan PBRS, Muafakat Nasional mempunyai sejumlah 61 kerusi parlimen.

Pemerhati politik juga berpendapat pilihan raya umum pada ketika ini akan memihak kepada Umno dan PAS memandangkan sentimen pengundi Melayu yang percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal melindungi kepentingan mereka.

Kerajaan PH yang berusia 20 bulan runtuh pada hari Isnin lalu selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. 

Partinya Bersatu, yang mempunyai 26 kerusi parlimen, juga menarik diri daripada gabungan itu.

Mahathir juga mendapat sokongan daripada seramai 11 anggota parlimen PKR yang diketuai oleh bekas timbalan presidennya, Azmin Ali. 

Bagaimanapun, status salah seorang daripada anggota parlimen berkenaan, Jonathan Yasin,  tidak jelas selepas menyatakan di Facebook bahawa beliau tidak keluar PKR.

Sokongan daripada parti dari Malaysia Timur terhadap Mahathir juga mungkin terjejas dengan cadangan kerajaan perpaduan. 

Sebelum ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 18 ahli parlimen dan Warisan (sembilan Ahli Parlimen) telah menyatakan sokongan terhadap beliau.

Bagaimanapun, GPS berkata mereka akan bertindak "demi kepentingan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan Sarawak".

PH yang kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, telah mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan dan memberi amaran bahawa kerajaan perpaduan boleh mengundang pemerintahan diktator.

Lihat Komen
ADS