Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno arah jentera pilihan raya siap sedia jika parlimen dibubar

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa memberitahu bahawa pucuk pimpinan parti telah mengarahkan jentera pilihan rayanya supaya bersiap sedia sekiranya parlimen dibubarkan.

Ini kerana katanya, kemelut politik negara kini menyebabkan parti itu mengambil langkah bersiap-sedia menghadapi sebarang situasi.

"Adalah wajar bagi kita untuk membuat persiapan ke arah itu walapun kita tidak tahu apakah keputusan nantinya dibuat oleh Istana Negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Umno seluruh negara petang tadi di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kerja, Mohd Sumali Reduan.

Annuar berkata, satu pekeliling juga telah dikeluarkan berdasarkan keputusan majlis tertinggi agar jentera Umno dan BN di seluruh negara bergerak bersama PAS bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita telah memberikan garis-garis panduan tentang bagamanakah mekanisma kerjasama di antara parti kita dengan PAS terutama di semua peringkat termasuk negeri di DUN dan juga di peringkat pusat-pusat daerah mengundi. Arahan-arahan secara spesifik telah dikeluarkan tadi," tambahnya.

Terdahulu, perjumpaan dengan semua ketua bahagian Umno itu diadakan untuk menjelaskan situasi semasa politik negara selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Isnin lalu.

Seramai 180 ketua bahagian daripada jumlah keseluruhan 191 ketua bahagian hadir dalam perjumpaan tersebut.

Katanya, beberapa ketua bahagian dari Sabah tidak dapat menghadiri perjumpaan berkenaan kerana notis 24 jam yang dikeluarkan terlalu singkat.

Sementara itu, Annuar Musa yang juga anggota parlimen Ketereh berkata Umno mengambil sikap sederhana berhubung perutusan khas Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad semalam.

"Dalam kenyataan 18 para beliau, telah disentuh beberapa perkara terutamanya di para 11 dan 12 yang amat menyinggung perasaan ahli Umno.

"Umno amat memahami situasi yang sedang dilalui oleh YAB Tun pada masa ini. Masalah sedang dihadapi negara pada masa ini sedikit sebanyak adalah berpunca dari YAB Tun sendiri.

"Walaupun kenyataan itu telah menghiris hati ahli-ahli Umno namun kita menyeru agar semua ahli Umno dapat bersabar, berlapang dada dan terus mempamerkan sifat yang baik dan berjiwa besar," tambah beliau.

Pada perutusan khas itu, Mahathir mendedahkan bahawa ketidaksanggupan bekerjasama dengan Umno merupakan punca utama beliau meletak jawatan.

Dalam perutusan itu Mahathir berkata: "Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan".

Lihat Komen
ADS