Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pilihan untuk PH - terima tawaran di depan, atau tak dapat apa-apa

ANALISIS | Langkah mengejutkan terbaru daripada Dr Mahathir Mohamad berhubung sidang khas Parlimen pada 2 Mac ini mungkin akan membuka jalan kepada Umno untuk kembali berkuasa.

Dalam sidang media pertama sejak krisis politik yang bermula Ahad lalu, Mahathir dengan jelas menyatakan jika PH tidak menyertai kerajaan perpaduannya, maka Bersatu akan mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Beliau berkata Muhyiddin mempunyai sikap terbuka untuk menerima Umno secara keseluruhan (en bloc) dalam kerajaannya. Ini bermakna pentadbiran Muhyiddin akan menyaksikan semua anggota parlimen Umno, termasuk yang kini berdepan dakwaan jenayah seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Bertentangan dengan kerajaan perpaduan Mahathir yang, menurutnya, hanya akan menerima anggota parlimen terpilih daripada Umno.

Secara taktikal, Mahathir telah mendapat tiga kemenangan utama.

Pertama, Mahathir telah mengelakkan risiko Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim selaku perdana menteri untuk kerajaan minoriti.

Sebagai pemimpin blok terbesar di Parlimen, Anwar boleh dilantik Agong untuk memegang jawatan itu, dan membolehkannya untuk menubuhkan kerajaan yang mampan.

Kedua, Mahathir mengelakkan keperluan mengadakan pilihan raya dan maka menjamin kedudukan 26 anggota parlimen partinya.

Kemengan terakhir ialah PH terpaksa menimbang semula keputusannya untuk menolak undangan menyertai kerajaan perpaduan yang diketuainya.

Sejak semalam, tokoh PH telah mengkritik cadangan itu atas dasar ia akan memberikan kuasa terlalu besar kepada perdana menteri, tanpa kebertanggungjawaban kepada parti mahupun panduan daripada manifesto pilihan raya.

Mereka juga berkata dengan menyertai kerajaan itu, mereka boleh dianggap melanggar persetujuan dengan pengundi, yang boleh membawa kesan untuk jangka masa panjang.

Dengan perkembangan terbaru, Majlis Presiden PH malam ini perlu memikirkan apa yang digelarkan sebagai pilihan Hobson - iaitu pilihan untuk menerima apa yang ada, atau langsung tidak mendapat apa-apa.

Pertama, PH boleh bersetuju untuk menyertai kerajaan perpaduan untuk mencapai satu-satunya matlamat bersama mereka, mengelakkan Umno daripada kembali berkuasa sehinggalah perbicaraan di mahkamah melibatkan pemimpinnya selesai.

Ini bermakna PH perlu mengabaikan manifesto pilihan raya dan membuat permulaan baru, dengan termanya ditentukan Mahathir.

Menurut salah seorang pakar strategi Azmin, Mahathir dan kalangan yang keluar PH awal minggu ini merasakan manifesto PH sebagai "tidak dapat dilaksanakan".

"Mereka hanya perlu bersetuju secara prinsip dengan kami, dan dari situ kita boleh melihat perinciannya.

"Tidak akan ada lagi politiking yang tidak perlu dan tumpuan kepada, misalnya, sepuluh matlamat realistik untuk dua tahun ini," katanya.

Seorang ahli strategi PH pula memberitahu pilihan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana banyak janji PH sudah tertanam dalam minda penyokong mereka.

"Kami akan dimarah penyokong dan tidak boleh berbuat apa-apa tentangnya," katanya.

Ataupun PH boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa, membiarkan Muhyiddin naik menjadi perdana menteri dan kerajaan ditubuhkan dengan Umno.

Ada pilihan ketiga, walaupun amat sukar, iaitu PH menambah sokongan sekurang-kurangnya 20 anggota parlimen lagi dalam masa tiga hari, sebelum sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Lihat Komen
ADS