Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyokong Muhyiddin ucap tahniah, PH belum putus asa
Diterbitkan:  Feb 29, 2020 6:52 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Setelah seminggu selepas 'Langkah Sheraton' yang membawa kepada tumbangkanya kerajaan PH dan menyaksikan negara berdepan kemelut politik, hari ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

Meskipun jumlah sokongan ahli parlimen yang dipegang oleh Muhyiddin masih menjadi persoalan, pemimpin-pemimpin politik mula mengucapkan tahniah.

Berikut merupakan antara reaksi daripada pemimpin-pemimpin parti politik.


Penyokong Muhyiddin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa:

“Saya syukur ke hadrat Allah, yang penting masalah pelantikan perdana menteri ini telah selesai mengikut peraturan dan perlembagaan, rakyat tidak lagi dalam keadaan tertanya-tanya.

“[...] Jangan terlalu gembira, kita masih satu keluarga. Ini satu proses biasa. Yang penting segala-galanya berjalan dengan baik, jangan terlampau teruja, ke depan banyak lagi untuk membantu perdana menteri, rakyat negara kena utamakan."

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan

"Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

"Melalui perlantikan ini, bermulalah tugas berat tapi sangat penting untuk kita semua, dalam mengembalikan Malaysia ke landasan kemajuan yang sangat diperlukan.

"Sesungguhnya perlantikan beliau telah membawa fajar baru kepada Malaysia dan rakyatnya."

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan:

“[...] Ini satu pencapaian yang terbaik hasil daripada Muafakat Nasional kita adakan dengan Umno. Jadi kami PAS dan Umno membentuk komponen terbesar.

“Kami akan memberi akur janji akan bekerjasama dengan perdana menteri dan akan memberikan sumbangan khidmat terbaik kepada rakyat. Kita akan dapatkan pandangan daripada rakyat, nak dapatkan kerajaan ini setelah dua tahun di bawah PH.

“Kita harap PH terima dengan hati terbuka”.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang:

“Menjunjung kasih Tuanku”.


Penyokong Mahathir

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub:

“PH akan buat meeting (mesyuarat) sebentar lagi. Kalau diizinkan kita akan mengadap kembali Agong, untuk kita ada bukti yang cukup (mendapat sokongan majoriti)”.

“Sampai sekarang pun kita sedang mengumpul bukti-bukti termasuk akuan bersumpah (SD),” katanya ketika ditemui media di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur petang ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil:

“Salam semua. Sebagai seorang Ahli Parlimen dan pimpinan PKR serta Pakatan Harapan, saya minta semua pihak untuk bersabar, bertenang dan mematuhi undang-undang.

“Elakkan dari menyebar maklumat yang tidak dapat disahkan sumbernya,” katanya dalam kenyataan di Twitter.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir

"Bagaimana diakui 36 anggota parlimen Bersatu menyokong Muhyiddin sebagai PM jika ada enam penyokong Mahathir?

"Mukhriz (Jerlu), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) dan Mahathir Mohamad (Langkawi).

"Bohong untuk jadi PM?"

[Berita lanjut menyusul]


Lihat Komen
ADS