Laporan: PH cuba 'buat perhitungan' dengan PM di Dewan Rakyat
Hanya beberapa jam selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, PH mengumumkan langkah mereka bagi menghadapi apa yang berlaku.
Menurut Presiden PKR, Anwar Ibrahim, PH bercadang untuk membawa usul undi tidak percaya kepada presiden Bersatu itu pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Katanya, PH akan mengemukakan usul itu kepada pihak parlimen secepat mungkin.
“Kita sudah buat keputusan, (akan buat undi tidak percaya) sesegera mungkin,” lapor Malaysia Gazette hari ini.
Untuk rekod mengikut susuan asal, Dewan Rakyat akan bersidang pada 9 Mei ini. Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan untuk Dewan Rakyat mengadakan sidang khas bagi melantik perdana menteri pada 2 Mac tetapi ditolak kerana tidak memenuhi syarat oleh speaker.
Mahathir pada pagi tadi menjelaskan sebagai kerajaan, tarikh itu boleh dipinda.
Ahli parlimen Port Dickson itu menjelaskan bahawa ia terpulang kepada Dewan Rakyat untuk menetapkan tarikh berkenaan usul undi percaya itu.
"Sama ada 9 Mac ini terserah kepada parlimen," katanya ditanya adakah PH menetapkan tarikh khusus.
Sementara itu, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini memohon sidang pertama bagi penggal ke-3 Parlimen akan diteruskan pada 9 Mac seperti yang dijadualkan.
Dalam kenyataan media, gabungan tersebut berkata dengan dengan sokongan 112 ahli parlimen ia adalah peluang terbaik untuk menentukan sokongan kepada perdana menteri dan seterusnya menamatkan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mahathir di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur juga melantik Saifuddin Nasution sebagai Ketua Setiausaha PH bagi menggantikan Saifuddin Abdullah yang kini menyertai Bersatu.

