Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPM nafi PM nak jumpa pemimpin parti, Zahid kata silap peguam 'junior'
Diterbitkan:  Mar 2, 2020 2:40 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Beberapa jam selepas perbicaraan ditangguhkan kerana tertuduh - Dr Ahmad Zahid Hamidi - didakwa diperlukan untuk perbincangan mengenai kabinet, Jabatan Perdana Menteri tampil membuat kenyataan yang mengejutkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, JPM memberitahu pada hari ini Muhyiddin Yassin tidak dijadualkan mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin politik.

"Pada hari ini perdana menteri dijadualkan bertemu dengan ketua setiausaha negara dan ketua-ketua jabatan/agensi bagi menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.

"Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini," kata kenyataan tersebut.

Ia turut dikongsi di Facebook Muhyiddin. 

Pagi tadi mahkamah menangguhkan perbicaraan ke atas Ahmad Zahid -yang berdepan 47 tuduhan, membabitkan 12 kes pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram dan lapan kes rasuah - kerana beliau dikatakan perlu berbincang dengan perdana menteri berkaitan pembentukan kabinet baru.

Hari ini merupakan hari pertama Ahmad Zahid dibicarakan di bawah kerajaan baru - dikenali sebagai Perikatan Nasional - yang turut melibatkan beliau sebagai presiden Umno.

Ia dah dibetulkan

Permohonan pagi tadi dibuat oleh pasukan pembelaan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut peguam bela, Hisyam Teh, Zahid “diperlukan” untuk perbincangan bersama perdana menteri.

“Tertuduh akan (terlibat) dalam perbincangan dengan perdana menteri berhubung pembentukan kabinet hari ini.

"Jadi, kami meminta mahkamah membenarkan penangguhan untuk prosiding hari ini.

“Kehadirannya diperlukan [...],” katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan tersebut, dan kes akan bersambung esok.


Baca Hadi: Ada juga pemimpin PH dibebaskan dari kes mahkamah


Sementara itu dalam reaksi segeranya petang ini, Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang pembohongan berlaku.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, berlaku kesilapan pada peguam bela "junior" yang mewakilinya.

"Tiada pembohongan. Cuma junior lawyer silap memberitahu mahkamah. Sudah diperbetulkan," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini juga dimaklumkan  kes Ahmad Zahid disambung semula petang ini.

Kata pegawai mahkamah, Sequerah mengarahkan kes itu disambung ekoran kenyataan dikeluarkan JPM sebentar tadi. 

Lihat Komen
ADS