Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari 85: Latheefa, bekas penasihat undang-undang MIC beri keterangan esok

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari 85 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Perbicaraan pagi ini merupakan yang pertama selepas pertukaran perdana menteri.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


Ketua SPRM, bekas penasihat undang-undang MIC beri keterangan

3.37 petang: Mahkamah hari ini dimaklumkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan bekas penasihat undang-undang MIC, Selva Mookiah akan dipanggil sebagai saksi pembelaan esok.

Latheefa dan Selva Mookiah akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu perkara itu kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada akhir prosiding petang ini.

Shafee berkata sapina telah diserahkan kepada Latheefa yang memerlukan beliau hadir ke mahkamah, manakala pihak pembelaan akan menemubual Selva malam ini sebelum memberi keterangan di kandang saksi esok.

Peguam veteran itu juga berkata pihak pembelaan mempunyai beberapa soalan lagi dalam pemeriksaan semula terhadap penolong pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir esok.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan pada hari ini dan akan diteruskan pagi esok.


Pendakwaan mahu jadikan buletin Jakim bukti, tapi dibantah peguam 

3.00 petang: Pihak pendakwaan cuba menjadikan Buletin Jakim yang didakwa menunjukkan keberadaan Menteri Jabatan Jamil Khir Baharom Perdana Menteri pada 11 Jan 2010.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan bekas perdana menteri, Najib Razak membantah buletin berkenaan dijadikan sebagai bukti.

DPP V Sithambaram cuba menjadikan dokumen berkenaan sebagai bukti, yang diperoleh dari saksi pembelaan kesembilan, Penolong Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir.

Minggu lalu, Sithambaram meminta saksi itu cuba mendapatkan dokumen untuk menunjukkan keberadaan bukan sahaja Najib tetapi juga Jamil Khir pada 11 Jan 2010.

Dalam prosiding lalu, Jamil memberi keterangan bahawa beliau merupakan salah seorang delegasi yang diketuai Najib ke Arab Saudi dari 11 Januari - 16 Januari 2010.

Jamil Khir berkata semasa lawatan ini, beliau dimaklumkan oleh Najib bahawa Raja Arab Saudi, Raja Abdullah telah berjanji memberikan sumbangan kewangan kepada Najib.

Perenggan pertama Buletin Jakim yang dikatakan bertarikh Feb 2010, menyatakan bahawa Jamil menghadiri satu program Ucapan Amanat YB Menteri 2010 di Putrajaya pada 11 Jan 2010.

Buletin itu didakwa menyatakan bahawa Jamil Khir memberi ucapan di majlis yang dihadiri oleh ketua-ketua agensi yang berkaitan.

Bagaimanapun, peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah membantah usaha pihak pendakwaan menjadikan buletin itu sebagai bukti, dengan alasan bahawa penerbit buletin hendaklah dibawa ke mahkamah untuk mengesahkan ketulenan buletin terlebih dahulu sebelum dokumen itu boleh diterima sebagai bukti.

Sithambaram kemudian berhujah bahawa dokumen itu telah dicetak Jakim sendiri dan disahkan oleh salah seorang kakitangan Jakim.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan dokumen itu diterima sebagai ID sahaja, iaitu Dokumen Pengenalan dan bukannya bukti.

Ini bermakna bahawa dokumen itu, hanya dirujuk kepada saksi tanpa kandungannya dibacakan di mahkamah.


Dokumen berkaitan kedudukan Najib pada 11 Jan 2010 belum diperoleh

2.45pm: Bekas pegawai penyiasat SPRM dalam kes derma RM2.6 bilion, Mohd Nasharudin Amir belum menerima dokumentasi berkaitan kedudukan Najib Razak pada 11 Januari 2010.

Perkara ini didedahkan oleh Nasharudin, penolong pesuruhjaya SPRM, sebagai saksi kesembilan dalam pemeriksaan balas timbalan pendakwa raya V Sithambaram.

Minggu lalu, Sithambaram meminta Nasharudin mengemukakan dokumentasi berkaitan perkara itu hari ini.

Sithambaram mahu tahu sama ada Najib membuat lawatan tidak rasmi ke Arab Saudi pada tarikh itu atau berada di ibu pejabat korporat 1MDB di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, beberapa saksi berkata Najib melawat Arab Sudi dari 11 hingga 16 Januari 2010.

Tanggal 11 Januari ialah lawatan tidak rasmi manakala lawatan rasmi antara 13 hingga 16 Januari.

Dalam lawatan itu, saksi mendakwa Najib memberitahu mereka bahawa pemerintah Saudi ketika itu Raja Abdullah berjanji akan memberi bantuan kewangan kepada Najib.


Mahkamah bersambung

2.38 petang: Perbicaraan bersambung.


10.15 pagi: Prosiding ditangguhkan ke pukul 2.30 petang petang ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan oleh DPP V Sithambaram.

Mahkamah diberitahu bahawa ini adalah kerana saksi kesembilan pembelaan, Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir, hanya boleh mendapatkan dokumentasi yang relevan sekitar selepas tengah hari ini.

Dokumen-dokumen berkaitan diperlukan untuk Nasharudin rujuk dalam pemeriksaan balas oleh Sithambaram berhubung keberadaan Najib pada 11 Januari 2010.

Sithambaram sedang berusaha untuk semak balas Nasharudin sama ada pada 11 Januari 2010, Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu dalam pertemuan tidak rasmi dengan pemerintah Saudi ketika itu Raja Abdullah di Riyadh, atau sama ada Najib menghadiri pelancaran ibu pejabat korporat 1MDB di Kuala Lumpur, Malaysia .


10.08 pagi: Najib masuk kandang saksi dan perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula.


9.40 pagi: Perbicaraan bermula sedikit lewat pagi ini kerana peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah terpaksa menghadiri dua prosiding mahkamah yang berasingan.

Yang pertama, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin, berhubung kes RM9.5 juta wang haram melibatkan Shafee.

Yang kedua adalah sebutan kes RM2.28 bilion 1MDB melibatkan Najib di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS