Seorang ustaz muda yang mengajar di sebuah madrasah di Lahad Datu cedera parah selepas ditikam dua remaja lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sepagaya Hulu Batu 6, Jalan Silam, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata mangsa yang berusia 19 tahun ditikam di bahagian leher, bahu serta belakang badan menggunakan pisau sayur berukuran 5 inci tanpa hulu pada 1 pagi.

"Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nasri, mangsa kini dalam keadaan stabil manakala ketiga-tiga suspek yang dipercayai pelajar di madrasah tempat ustaz itu mengajar ditahan pada 11 pagi hari kejadian bagi membantu siasatan.

"Tangkapan berusia 13 hingga 17 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya sambil menambah bahawa seorang daripada mereka adalah saksi kerana mengetahui kejadian itu namun tidak memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Nasri berkata mangsa baru 10 hari mengajar di madrasah itu.

- Bernama