mk-logo
Berita
Jho Low: Saya tak kawal akaun Najib, tak ada kuasa buat keputusan dalam 1MDB, SRC
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 2:11 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

KES SRC | Dalam pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Low turut ditanya berkenaan akaun bank yang dimiliki Najib, yang dipercayai menerima wang yang dapat dikesan daripada 1MDB dan SRC International.

"Saya tak ada kebenaran atau akses kepada lima akaun ini.

"Saya bukan orang yang berautoriti untuk memeriksa baik dan menguruskan lima akaun ini.

"Seingat saya, ketika itu, saya tiada maklumat sama ada akaun-akaun ini milik perdana menteri (Najib)," katanya.

Sepanjang perbicaraan kes SRC, mahkamah diberitahu bahawa pegawai AmBank Joanna Yu mendapat arahan daripada Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low berkenaan akaun Najib.

Mahkamah juga diberitahu, berdasarkan transkrip pesanan teks di telefon, Low masuk campur bagi pihak keluarga Najib - dengan cara menghubungi AmBank - apabila transaksi kad kredit Najib ditolak di sebuah kedai mewah di Hawaii pada 2014.

Bagaimanapun Jho Low menafikan dia menguruskan kad kredit Najib.

"Seingat saya, saya tidak tahu siapa pemegang kad platinum AmBank XXXX-XXXX-XXXX-5496 dan XXXX-XXXX-XXXX-8961, dan saya tidak menguruskan perbelanjaan dan pembayaran dua kad kredit ini.

"Saya tiada kebenaran atau akses untuk akaun-akaun ini. Saya tidak tahu berapa banyak kad kredit AmBank yang dimiliki perdana menteri, dan saya tiada mandat untuk menguruskan perbelanjaannya.

"Seingat saya, saya tidak tahu berkenaan pembayaran kad kreditnya dan juga sumber pendapatan yang masuk dalam akaun itu.

"Seingat saya, saya juga tidak tahu sama ada wang 1MDB/SRC dimasukkan ke dalam akaun-akaun itu," katanya lagi.

Dalam keterangannya, Low juga ditanya SPRM berkenaan setiap baris transkrip pesanan teks antaranya dengan pegawai bank yang menguruskan akaun Najib.

Bagaimanapun dia memberikan jawapan sama berkenaan setiap pesanan teks: "Seingat saya, saya tidak ingat ada perbualan itu, dan saya juga tidak faham konteks pesanan teks itu."

Najib kini dibicara terhadap tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana daripada SRC International.

Perbicaraan dibuat di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS