Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan tujuh lagi kes baru Covid-19 direkodkan menjadikan ia kes tertinggi dicatatkan dalam tempoh sehari di negara ini.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kes Covid-19 yang disahkan di seluruh negara meningkat kepada 36.

Menurut PMO perkara itu dimaklumkan pada sesi perbincangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Kementerian Kesihatan yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

"Terdapat tujuh kes baru dilaporkan di Malaysia pada hari ini, 3 Mac 2020.

"Oleh itu, kini terdapat 36 kes direkodkan di mana setakat ini jumlah kes sembuh adalah 22 atau 61.1 peratus.

"Sebanyak 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. Kesemua kes yang dirawat di wad adalah dalam keadaan stabil," menurut kenyataan yang dikeluarkan PMO, hari ini.

PMO turut memaklumkan, dua misi bantuan kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia bersama tanggungan (pasangan/anak) dari Wuhan, China dilaksanakan dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan.

Taklimat situasi ekonomi

Katanya, dalam misi pertama, 107 warganegara Malaysia dan tanggungan mereka dibawa pulang pada 4 Feb lalu dan selesai menjalani saringan kesihatan selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Feb.

Kesemua 107 orang itu didapati negatif.

Dalam misi kedua pula, menurut kenyataan itu, seramai 68 warganegara Malaysia dan tanggungan yang dibawa balik dari Wuhan sedang menjalani saringan kesihatan di AKEPT mulai 26 Feb hingga 11 Mac ini.

Pada 22 Feb, seramai 100 kru warganegara Malaysia dari World Dream Cruise menjalani saringan kesihatan di Intan Wilayah Selatan (Ikwas) dan kesemuanya didapati negatif.

"Perdana Menteri berpuas hati dengan agensi kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan Covid-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan," kata kenyataan itu lagi.

 

Sementara itu, PMO turut memaklumkan, perdana menteri mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kedudukan ekonomi dan keadaan fiskal negara.

Bagi tujuan itu, perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Pada pertemuan itu, perdana menteri yang diberi taklimat mengenai situasi terkini ekonomi negara menekankan pelaksanaan perbelajaan secara berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

"Di samping itu, kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan juga diberi perhatian dengan setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang kerajaan.

"Oleh itu, keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang orang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.