Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Bersatu, PH masih kuasai kerusi DUN Kedah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) masih menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan kekal sebagai kerajaan negeri Kedah, kata Menteri Besar Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata kedudukan kerajaan Bersatu campur PH di Kedah masih kukuh selagi tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu atau PH mengalih sokongan mereka.

"Kita mempunyai bilangan (DUN) yang mencukupi, kita ada 19 campur seorang Speaker (DUN) jadi 20, jadi majoriti sekarang adalah tiga.

"Kita berharap jika ia (sokongan) dapat dikekalkan, Kedah akan berbeza dengan negeri lain ...," katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, malam ini.

Mukhriz berkata walaupun kini di peringkat kerajaan pusat Bersatu dianggap sebagai sebahagian daripada gabungan baharu, namun ia berbeza di Kedah.

"Saya sekali lagi akan mengadakan perjumpaan dengan semua Adun PH dan Bersatu... Esok mesyuarat exco macam biasa kerana tugas kita untuk bangunkan Kedah untuk rakyat mesti diteruskan," kata Mukhriz.

Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan terpaksa menghadapi sedikit kekangan kewangan dalam menguruskan pembangunan negeri, namun berharap ia akan mencukupi dengan langkah penjimatan yang optimum.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS 15 kerusi, Bersatu (enam), PKR (tujuh), Amanah (empat), Umno (dua) dan DAP (dua).

- Bernama

Lihat Komen
ADS