Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Berita baik PTPTN tak sempat diumum kerana PH tumbang’
Diterbitkan:  Mar 5, 2020 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, sebelum runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan, gabungan itu berhasrat mengumumkan berita baik buat peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Namun Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, manifesto PH itu gagal dilaksanakan apabila kerajaan PH yang berusia 21 bulan itu hilang kuasa.

“Kerajaan PH telah bersetuju untuk melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya umum PH untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka hanya selepas gaji bulanan mereka melebihi RM4,000.

“Formula daripada PTPTN dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan ini, memerlukan kerajaan menanggung pinjaman tambahan di atas pinjaman sedia ada yang ditanggung oleh kerajaan untuk membiayai pinjaman PTPTN.

“Malangnya, kerajaan PH tumbang sebelum pengumuman rasmi berhubung perkara ini dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, PH dalam manifesto PRU tidak menjanjikan penghapusan hutang PTPTN secara menyeluruh.

Menurut Buku Harapan, ia berhasrat menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan senarai hitam kepada peminjam yang tidak membayarnya.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa kerana kedudukan kewangan negara dikatakan belum kukuh.

Meskipun PH sebelum ini mendapat kritikan kerana dikatakan gagal menunaikan kebanyakan janji manifestonya, Lim berkata, sepanjang 21 bulan lalu, kerajaan PH telah bekerja keras menunaikan manifestonya.

Antaranya, kata Lim, dengan mengurangkan kos sara hidup, menyediakan perlindungan kesihatan baru, meningkatkan ketelusan dalam kewangan awam dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Saya berharap, janji untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman hanya selepas mereka mendapat gaji lebih dari RM4,000 sebulan tetap akan ditunaikan, meskipun kerajaan perlu menanggung pinjaman tambahan,” kata Lim.

Lihat Komen
ADS