Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, hari ini menegaskan kesetiaannya adalah kepada parti - iaitu PKR - dan bukan kepada orang perseorangan.

Beliau yang sebelum ini dilihat menjadi seorang daripada penyokong tegar Azmin Ali berkata demikian sebagai menjelaskan kedudukannya selepas ahli parlimen Gombak itu meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Tindakan diambil Azmin bersama 10 ahli parlimen lain itu turut membawa kepada jatuhnya kerajaan PH.

Ia juga mengundang spekulasi bahawa Amirudin akan mengikut langkah Azmin. Seorang lagi pemimpin PKR yang dekat dengan Azmin, Dr Afif Bahardin, sudah meletakkan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang semalam.

Kata Amirudin beliau akan kekal bersama PKR kerana ia merupakan janjinya semasa berkempen untuk mendapatkan sokongan semasa pilihan raya umum 2018.

“Saya akan bersama dengan dia (Azmin) selagi masih dalam parti, tetapi selepas dia meninggalkan parti, saya akan mengikuti jejak parti saja.

“Saya akan bersama PKR sejajar dengan janji saya dalam kempen pilihan raya umum (PRU14). I am a party man (saya orang parti),” katanya di Shah Alam hari ini.

Tidak seperti beberapa negeri lain, tindakan Amirudin itu menyaksikan PH kekal menjadi kerajaan negeri di Selangor.

Kempen pecat dah lambat

Adun Sungai Tua itu juga membah, PKR wajar mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di peringkat persekutuan.

Pada masa sama beliau mengakui ada khabar angin masih disebarkan pelbagai pihak, termasuk berkenaan pembetukan kerajaan di peringkat pusat.

“Tapi yang pasti, pada hari ini majoriti Adun Selangor bersama dengan saya dan barisan pimpinan negeri […] tapi saya tak boleh menghalang mulut orang (daripada bercakap) atau (mengambil tindakan-tindakan politik.

“Sewajarnya kita insaf dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku di kerajaan persekutuan,” katanya.

Hilman Idham (dua dari kanan)

Terdahulu, Amirudin mengumumkan tujuh Adun dikeluarkan daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka ialah lima Adun Bersatu, selain Azmin serta Hilman Idham (Adun Gombak Setia).

Kata Amirudin, Selangor kekal di bawah pentadbiran PH kerana masih menguasai 43 daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Menunjukkan semangat perpaduan bersama Amirudin semasa sidang media itu ialah sebilangan besar penyokong PH.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pemimpin yang tidak hadir. Antaranya Dr Idris Ahmad (Ijok), Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan).

Apabila dihubungi, Syamsul Firdaus memberitahu Malaysiakini, beliau mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat pada waktu sidang media Amirudin dijalankan.

Idris dan Rodziah masih belum mengulas lanjut susulan perkara tersebut.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai kempen pecat yang ingin digerakkan anggota PKR ke atas kumpulan digelar pengkhianat - dipercayai merujuk kepada sekutu Azmin - Amirudin berkata, ia agak terlambat.

“Kita dah pecat pun. Kita dah pecat Hilman, dah pecat Hizwan (setiausaha politik Zuraida), dah pecat Zuraida (bekas naib presiden PKR), dan yang lain-lain. Kempen itu dah terlambat,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS