Haniza: Jejak anggota parti untuk dipecat hanya pecah-belahkan parti
Ketua Wanita PKR Haniza Talha menyifatkan tindakan parti menjejak anggota parti untuk dipecat hanya akan memecah-belahkan parti.
Haniza berkata parti sepatutnya mengambil pengajaran daripada kemelut politik yang melanda negara sehingga menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan dan gagal mengangkat presiden parti mereka, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Tindakan menjejaki anggota-anggota untuk dipecat hanya akan memecah-belah serta melemahkan lagi parti.
“Wanita PKR mengambil pendekatan bahawa sekiranya ada anggota-anggota yang ingin meninggalkan parti, mereka telah pun berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR, sebelum ini dilaporkan menggesa Haniza dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi menyatakan pendirian terhadap sokongan mereka kepada parti.
Ia susulan daripada pemecatan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin yang terlibat dalam 'Langkah Sheraton'.
Haniza dilihat merupakan antara penyokong Azmin.
“Wanita PKR berharap keadaan kemelut dan tidak menentu kini dihadapi oleh parti dapat diatasi dalam masa yang terdekat untuk membolehkan kita semua memfokus tenaga kepada pembangunan ekonomi dan negara,” kata Haniza.
Langkah Sheraton menyaksikan tumbangnya kerajaan PH. Gerakan itu dimulakan oleh Azmin dengan alasan untuk menghalang Anwar menggesa Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri.
Mahathir bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana enggan bekerjasama dengan Umno, sementara Bersatu keluar dari PH untuk menubuhkan kerajaan bersama BN dan PAS.
Selepas lebih seminggu kemelut itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan, dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan Azmin, selain Gabungan Parti Sarawak.

