Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanipa puji AG baru sebagai adil, bijak
Diterbitkan:  Mar 6, 2020 9:43 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin mengucapkan tahniah kepada Hakim Idrus Harun susulan pelantikannya sebagai Peguam Negara.

Pemimpin Amanah itu turut berkata bahawa beliau mempunyai pengalaman bekerja dengan Idrus ketika peguam negara itu menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

“Secara peribadi, saya tiada masalah dengan dia. Pada pandangan saya, dia adalah seorang hakim yang adil dan bijak ,” katanya kepada Malaysiakini.

“Malangnya, beliau terpaksa berkhidmat di bawah kerajaan yang kredibiliti dan integriti sering disoal luar dan dalam negara,” tambahnya.

Idrus yang dilantik sebagai peguam negara itu berkuatkuasa hari ini, menggantikan Tommy Thomas yang telah meletakkan jawatannya minggu lalu susulan kemelut politik yang menyaksikan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih Putrajaya.

Sebelum ini pada tahun 2018, pendakwa raya dalam kes 1MDB Gopal Sri Ram turut mencadangkan Idrus dilantik sebagai peguam negara.

Beliau adalah bekas peguamcara dalam Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor, MP Ramkarpal Singh turut mengucapkan tahniah kepada Idrus.

"Saya yakin dia akan mengutamakan undang-undang susulan sebelum ini menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

"Penting bagi beliau meneruskan pendakwaan yang telah dimulakan, terutamanya kes yang berkaitan dengan 1MDB dan bekerjasama dengan badan kehakiman untuk tujuan memperkenalkan pembaharuan.

“Saya doakan yang terbaik,” kata Ramkarpal kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Badan Peguam Malaysia berkata akan bekerjasama dengan Idrus dalam semua perkara berkaitan kepentingan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pihaknya.

“Tan Sri (Idrus) mempunyai pengalaman yang banyak dan pendedahan setelah beberapa tahun dalam AGC dan kemudian dalam Mahkamah.

“Badan Peguam Negara percaya Idrus dapat menggalas tugasnya secara efisien dan efektif untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut,” kata presidennya Abdul Fareed Gafoor ketika dihubungi.

Lihat Komen
ADS