Sekumpulan 50 organisasi masyarakat sivil menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap neutral dalam isu pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan baru selain menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah bersesuaian dengan raja perlembagaan.

"Rakyat yang membantah secara aman – sama ada melalui kenyataan atau perhimpunan – terhadap pengkhianatan mandat rakyat sejak 23hb Februari, termasuk gejala lompat parti dan kerajaan pintu belakang, bukan bersikap kurang hormat kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Mereka menambah bahawa kuasa budi bicara Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, tidak dipertikaikan.

"Keabsahan (legitimacy) mana-mana perdana menteri boleh dicabar dan dinafikan oleh Parlimen dengan meluluskan usul tidak percaya, menolak usul percaya atau menolak belanjawan (rang undang-undang bekalan).

"Apabila senario ini berlaku, ia tidak bermakna ahli-ahli parlimen bersikap kurang hormat kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Sebaliknya, mereka menunjukkan kesetiaan kepada sistem raja berperlembagaan dengan memastikan mandat rakyat diperwakilkan dengan betul," kata kumpulan itu.

Menurut kumpulan terbabit, dalam erti yang sama, komentar adil yang diungkapkan secara sopan dan perhimpunan yang diadakan secara aman tidak bertentangan dengan sistem raja berperlembagaan, sebaliknya membawa kebaikan.

"Ini kerana pemerhatian dan kenyataan aktiviti-aktiviti ini akan membantu Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk menilai dan mempertimbangkan suara orang ramai," kata kumpulan itu.

"Polis mesti bersikap berkecuali dalam perkara ini. Sungguhpun Muhyiddin Yassin telah dilantik sebagai perdana menteri, pelantikannya masih lagi boleh dibatalkan di Mahkamah atau ditolak oleh Parlimen.

"Maka, pihak polis seharusnya cuma berkhidmat kepada kerajaannya sebagai “kerajaan yang memerintah” dan tidak harus mengambil kedudukan partisan sama ada pelantikannya harus diterima.

"Mengheret polis ke dalam gelanggang politik atas nama Istana akan membawa kemudaratan kepada kedua-dua institusi Istana dan PDRM," kata kumpulan itu yang turut menyambut baik jaminan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bahawa polis akan menghormati hak bersuara dan berhimpun dalam lingkungan undang-undang.

Pada 4 Mac lalu, 18 orang aktivis, termasuk S Ambiga dan anak bekas perdana menteri, Marina Mahathir, disiasat polis susulan beberapa siri demonstrasi selepas perubahan kerajaan baru-baru ini.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faiz Fadzil dan Naib Ketua Pemuda Amanah Abbas Azmi turut dipanggil untuk disoal siasat.

Kenyataan mereka dirakamkan di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, dalam dua sesi berbeza - pada jam 12 tengah hari dan 3 petang.

Kecuali aktivis Fadiah Nadwa Fikri yang disiasat bawah tiga akta, kesemua mereka disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis sebelum berhimpun.

Fadiah turut disiasat bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.