mk-logo
Berita
Saya tawarkan diri agar tak dilantik dalam kabinet, kata Zahid
Diterbitkan:  Mar 7, 2020 7:24 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Di tengah-tengah spekulasi barisan kabinet baru akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengisytiharkan bahawa beliau kekal sebagai penyokong kerajaan di parlimen.

Mengulangi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional, Zahid selaku pengerusi BN menzahirkan keyakinannya terhadap keputusan Muhyiddin untuk melantik barisan menteri kabinet yang baru.

"Sebagai pengerusi BN dan presiden Umno saya menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan kabinet.

"Saya ulangi, sebagai pengerusi BN dan presiden Umno saya menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan kabinet," kata Ketua Bahagian Bagan Datuk itu dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat cawangan Umno di bahagian berkenaan hari ini.

"Kenapa tak tepuk ?" soal bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjenaka  apabila pemimpin dan ahli Umno akar umbi terdiam seketika dengan pengumuman berkenaan.

Zahid bagaimanapun berkata, beliau telah membuat beberapa cadangan kepada Muhyiddin mengenai pelantikan kabinet, dengan mengambil kira hierarki dalam parti dan mereka yang menyumbang kepada pakatan itu keseluruhannya. 

Terdapat kebimbangan bahawa Muhyiddin mungkin tidak akan melantik pemimpin kanan Umno yang terlibat dengan dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah hari ini berkata mereka harus diberikan peluang untuk membersihkan nama di mahkamah.

Terdahulu, Zahid berkata pemimpin PH yang tidak gembira dengan pelantikan Muhyiddin ibarat pasukan yang kalah dalam perlawanan bola sepak di stadium.

"Perdana menteri kelapan telah mengangkat sumpah. Wisel penamat telah ditiup oleh pengadil perlawanan. Waktu kecederaan telah tamat setelah kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan.

"Penonton telah keluar dan balik dari stadium, lampu stadium telah dipadamkan... pasukan yang kalah tidak puas hati cuba masuk stadium semula ketika lampu telah dipadamkan dan semua pintu stadium telah ditutup, dan kaunter tiket tidak lagi menjual tiket.

"Yang kalah berada di luar stadium dan mengumumkan mereka telah skor gol sendiri melebihi daripada gol yang kita score. Kita taat kerana keputusan pengadil adalah muktamad," kata Zahid menjelaskan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin selepas menemui 222 anggota parlimen.

Pengkritik PH, termasuk daripada Perikatan Nasional membayangkan bantahan terhadap pelantikan yang dibuat Muhyiddin sama dengan mempertikaikan keputusan Agong.

Sebaliknya, beberapa pemimpin PH, termasuk Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, menuduh Muhyiddin memperdayakan Agong mengenai jumlah sokongan sebenar MP yang diterimanya.

Zahid menegaskan Umno-BN tidak membentuk kerajaan "pintu belakang" melainkan masuk kerajaan melalui pintu baru yang dibuka berikutan kejatuhan PH.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS