Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Syed Saddiq bohong kata Muhyiddin kelirukan Agong
Diterbitkan:  Mar 8, 2020 7:59 AM
Dikemaskini: 7:59 AM

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung bilangan anggota parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Anggota Parlimen Ketereh itu mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membuat dakwaan tersebut terhadap Muhyiddin dalam satu temu bual dengan Al-Jazeera.

"Saya mendengar Al Jazeera wawancara Syed Saddiq. Beliau menuduh Muhyiddin mengelirukan Agong dengan mendakwa bahawa 36 anggota parlimen dari Bersatu adalah antara mereka yang menyokong beliau (Muhyiddin).

"Ini adalah pembohongan terang-terangan," tegas Annuar.

Annuar menegaskan bahawa Muhyiddin tidak pernah memasukkan nama Syed Saddiq, Mukhriz Mahathir dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam senarai anggota parlimen Bersatu yang menyokongnya, yang kemudian dikemukakan untuk pertimbangan Agong. 

"Saya berada di sana apabila kami membuat senarai akhir!," katanya.

Sementara itu, seorang anggota parlimen PAS juga membidas Syed Saddiq berikutan dakwaan tersebut.

Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mendakwa Syed Saddiq memandang rendah kebijaksanaan Agong dalam menentukan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

"Ini tuduhan yg sangat berat kerana sepanjang ingatan saya yang turut serta dalam taklimat dari masa kesemasa yang diberi kepada ahli parlimen Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tidak memasukkan nama-nama yang tidak menyokong beliau dari kalangan MP Bersatu di dalam representasi partinya.

"Nama Syed Saddiq, Tun Mahathir dan Mukhriz memang tidak dinyatakan menyokong Muhyiddin," katanya yang turut menggesa Syed Saddiq agar bertenang dan cermat dalam memilih kata-kata.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu selepas seminggu berlaku kemelut politik yang dicetuskan oleh peletakan jawatan Mahathir.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima mengadap semua anggota parlimen dan berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum bersetuju melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri. 

Lihat Komen
ADS