Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis: Kabinet Muhyiddin lepas tapisan SPRM, polis
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan bahawa beliau dimaklumkan barisan baru menteri hanya terdiri dari individu yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Asri menjelaskan bahawa makluman itu diberitahu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri, sewaktu perbualan makan malam di rumah presiden Bersatu itu pada malam hari Sabtu.

“Apa yang menggembirakan saya, beliau (Muhyiddin) memaklumkan kepada saya – Insya-Allah senarai anggota kabinet beliau nanti mereka yang melepasi tapisan SPRM dan PDRM," katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook hari ini.

Asri turut menambah bahawa Muhyiddin juga meminta pemilihannya untuk mengesahkan sijil kelayakan akademik mereka.

“Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang terlibat menguruskan semalam bahawa beliau meminta setiap yang akan menganggotai kabinet beliau , tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki.

“Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang dia perolehi,” katanya.

Sementara itu, Asri berkata beliau juga berkongsi dengan Muhyiddin harapan rakyat supaya kerajaan Perikatan Nasional terdiri daripada menteri yang jujur dan cekap, tidak dilihat menentang asas negara, terutama mengenai perkara berkaitan Islam.

Bersama rakyat Malaysia, Asri menambah beliau sendiri akan menyatakan sokongan kepada kerajaan yang baik demi agama dan negara.

“Saya bersama bersama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu.

“Demikian, saya juga bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku,” tambahnya.

Muhyiddin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini sebelum membuat pengumuman rasmi berkenaan barisan kabinetnya pada jam 5 petang hari ini.

Lihat Komen
ADS