Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam Baki ketua pesuruhjaya baru SPRM
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 12:37 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dilantik menjadi ketua pesuruhjaya agensi itu.

Beliau menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan pada 2 Mac lalu.

Pelantikan itu berkuat kuasa hari ini, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan.

"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 694, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru berkuat kuasa mulai 9 Mac 2020," kata JPM.

Lebih tiga dekad dalam badan itu, Azam, 57, memulakan kerjayanya sebagai penolong pegawai penyiasat di bahagian risikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.

Pada 2007, beliau yang ketika itu berkhidmat di SPRM Perak dipindahkan ke ibu pejabat SPRM, di mana beliau mengetuai pasukan petugas khas menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan utama dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Sementara itu, PMO mengucapkan terima kasih kepada Latheefa atas khidmatnya dalam suruhanjaya itu selama sembilan bulan.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Latheefa Beebi Koya atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” kata kenyataan tersebut.

Latheefa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, susulan kejatuhan pentadbiran PH.

Beliau berkata ia adalah keputusannya sendiri dan bukan ditekan mana-mana pihak.


Lihat Komen
ADS