Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengkhianatan bermula dengan cubaan jatuhkan saya'
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 12:53 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau seorang pengkhianat apabila menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang.

Sebaliknya kata Faizal, pengkhianatan sebenar bermula apabila exco kerajaan negeri PH cuba menjatuhkan menteri besar dan kerajaan negeri.

"Saya disebut pengkhianat rakyat. Kita tak lupa mereka yang menduduki kerusi exco, tetapi tidak menjalankan amanah rakyat, tetapi sibuk ingin jatuhkan menteri besar dan kerajaan mereka sendiri.

"Pengkhianatan bermula di situ. Kita telah memikirkan ini, gabungan (PN) akan memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan kerajaan yang stabil," katanya dalam satu sidang media di Ipoh, hari ini.

Pada 4 Dis 2018, dakwaan berhubung cubaan menjatuhkan kerajaan negeri dan Faizal sebagai menteri besar dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH.

Cubaan itu didakwa didalangi oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Faizal dilaporkan berkata, perbincangan akan diadakan apabila ada pendedahan seperti itu, namun beliau lebih gemar jika isu berkenaan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti atau Majlis Presiden PH sendiri.

Bagaimanapun Faizal tidak percaya Abdul Aziz `menikam belakang’ beliau dan yakin tidak ada mana-mana pihak dalam PH mahu menjatuhkan sebuah kerajaan negeri Perak.

Terdahulu, pada sidang DUN Perak, Ketua Pembangkang Saarani Mohamad mendedahkan Abdul Aziz adalah dalang untuk menjatuhkan menteri besar dan kerajaan negeri.

Aziz menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan menteri besar menerusi undi tidak percaya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai “cerita kartun”.

Sementara itu, Faizal berkata perubahan kerajaan negeri berlaku sejajar dengan perubahan situasi politik negara yang menyaksikan Bersatu bertindak keluar PH.

Dalam situasi Perak katanya, beliau sedar kerajaan negeri PH pimpinanya tidak stabil untuk memberi khidmat yang baik kepada rakyat.

"Pertamanya kita sedar apa yang belaku dalam negara kita apabila Bersatu ambil keputusan keluar PH, tentu sekali Bersatu Perak ambil pendirian sama dengan Bersatu peringkat pusat.

"Di Perak kita sedar kerajaan PH yang saya pimpin sebelum ini tak beri kestabilan yang sebenar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS