Semua penumpang kapal persiaran Costa Fortuna telah menjalani saringan suhu sebagai langkah berjaga-jaga, menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Kapal persiaran Itali yang berlepas dari Singapura pada 3 Mac lepas dijadualkan berlayar ke Singapura esok, menurut MPA dan STB dalam kenyataan bersama hari ini.

MPA dan STB memaklumkan kesemua penumpang yang berlepas dari Singapura telah menjalani pemeriksaan sebelum pelepasan berdasarkan dasar semasa untuk sejarah perjalanan dan saringan suhu seperti yang diperlukan pengendali kapal dan terminal sebelum menaiki kapal.

Costa Fortuna, yang berpangkalan di pelabuhan Singapura telah mengisytiharkan Deklarasi Kesihatan Maritim bahawa tiada penumpangnya yang mengalami demam atau gejala penyakit pernafasan setakat ini.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa doktor di kapal persiaran itu akan memeriksa penumpang dan anak kapal bagi memastikan mereka sihat sebelum turun daripada kapal.

Kesemua penumpang yang memasuki Singapura juga dikehendaki menjalani saringan suhu sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain itu, penumpang ke Singapura yang mengalami demam dan/atau gejala penyakit pernafasan tetapi tidak memenuhi definisi kes klinikal oleh Kementerian Kesihatan, dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19.

Penumpang yang dikenal pasti untuk ujian swab Covid-19 tetapi enggan berbuat demikian tidak akan dibenarkan memasuki Singapura, katanya.

Terminal kapal persiaran Singapura terus dibuka untuk pelayaran berjadual dari Singapura manakala pelayaran tidak berjadual tidak dibenarkan memasuki republik itu sejak 24 Feb lepas.

Terdahulu, kapal yang membawa 2,000 penumpang itu dilaporkan ditolak oleh dua negara untuk berlabuh susulan kebimbangan jangkitan Covid-19.

- Bernama