Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
5 menteri, 5 timbalan menteri dari Kelantan
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 6:53 PM
Dikemaskini: Mar 11, 2020 7:04 AM

Anggota Parlimen Kelantan antara yang paling ramai membarisi kabinet Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Daripada 32 jawatan menteri dan 38 jawatan timbalan menteri yang diumumkan, lima ahli parlimen dari Kelantan dilantik sebagai menteri dan lima lagi dilantik sebagai timbalan menteri.

Menteri dari Kelantan terdiri daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed; Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

Ahli parlimen Kelantan yang mengisi jawatan timbalan menteri pula ialah, Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Keluarga Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Che Abdullah Mat Nawi; dan Timbalan Menteri Menteri Alam Sekitar Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Daripada jumlah itu menyaksikan lima orang anggota Parlimen PAS dari Kelantan diserap ke dalam barisan kabinet dan masing-masing seorang daripada Umno dan dua orang daripada Bersatu.

Dua yang lain memegang jawatan dengan status senator, iaitu Radzi (Bersatu) dan Ahmad Masrizal (BN).

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob merakamkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin atas perlantikan barisan jemaah menteri baru.

Beliau berkata, menerusi pelantikan jemaah menteri baru itu, hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan terus diperkukuh selaras dengan semangat persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

"Semoga Allah menganugerahkan petunjuk dan hidayah kepada barisan jemaah menteri untuk menjalankan tugas dengan adil dan saksama, berintegriti demi pembangunan dan keharmonian negara," katanya.

Untuk rekod, Kelantan diterajui PAS sejak 1990.

Ini merupakan kali kedua PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan. Kali pertama adalah pada 1973, apabila PAS bergabung bersama Umno untuk membentuk Barisan Nasional.

Lihat Komen
ADS